Berita gembira buat penyokong Malaysia yang tidak berpeluang atau tidak berkesempatan untuk ke stadium menyaksikan skuad Harimau Malaya beraksi selepas RTM akan menyiarkan secara langsung kesemua perlawanan Malaysia dalam kempen Piala AFF 2012 yang bermula 24 November ini.

RTM selaku penyiar rasmi Piala AFF 2012 juga akan menyiarkan perlawanan kumpulan A dengan pertembungan Thailand menentang Filipina menjadi perlawanan pembukaan. Selain itu, RTM juga akan membawakan perlawanan peringkat separuh akhir dan akhir nanti.

Beberapa perlawanan peringkat kumpulan yang lain juga akan turut disiarkan menerusi siaran tertunda.

Ketua Pengarah Penyiaran, Dato’ Norhayati Ismail berkata, selain menjadi rakan penyiar rasmi, RTM juga turut mengambil inisiatif menghasilkan klip khas kejayaan Harimau Malaya 2 tahun lepas untuk membangkitkan semangat penyokong Malaysia.

“Kita memberi peluang kepada mereka yang tidak berkesempatan ke stadium untuk menyaksikan pasukan kesayangan kita beraksi sejajar dengan slogan Sukan Terbaik Hanya Di RTM.

“Penghasilan klip video khas pula saya yakin dapat memberi semangat kepada penyokong-penyokong Malaysia untuk hadir ke stadium” kata Norhayati.

Norhayati berucap dalam majlis pengenalan RTM selaku penyiar rasmi kejohanan yang turut dihadiri Setiausaha Agung FAM, Dato’ Azzuddin Ahmad dan Naib Presiden Dato’ Hamidin Mohd Amin serta barisan penaja iaitu Toshiba dan NKRA di Angkasapuri pagi tadi.