Connect with:




Peminat bola sepak Malaysia pasti gembira dengan berita ini apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo telah mengesahkan kejohanan bola sepak terulung benua Amerika iaitu Copa America 2019 akan disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut Gobind dalam laporan BERNAMA, kementeriannya dan RTM kini sedang berusaha ke arah mewujudkan saluran sukan secara percuma untuk rakyat dalam siaran berdefinisi tinggi (HD).

Katanya lagi ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam membantu menjana dan membangunkan industri sukan di samping mewujudkan perpaduan dan meningkatkan semangat patriotik.

Sebelum ini, RTM berjaya menyiarkan siaran langsung 41 perlawanan bola sepak Piala Dunia yang membabitkan penajaan sebanyak RM18 juta. AirAsia Berhad (AirAsia) menjadi penaja emas dengan tajaan sebanyak RM12 juta, sekali gus melengkapkan tajaan bagi pembayaran kos hak penyiaran acara sukan bola sepak berprestij itu yang berjumlah RM30 juta.

Menurut Gobind lagi, selain Copa America terdapat beberapa lagi sukan berprestij akan disiarkan di RTM seperti Asian Basketball League (ABL), Cub Prix, Kejohanan Badminton Malaysia Axiata Open dan BWF World Championship.

“Selain itu, acara sukan serantau iaitu Sukan SEA Manila 2019 juga turut menjadi perhatian serta perlumbaan Moto GP dan Martial Arts One Championship akan disiarkan di RTM,” katanya.

Tambahnya, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan hak penyiaran kejohanan bola sepak Eropah iaitu Piala Eropah 2020 yang bakal dilangsungkan nanti.

“Saya difahamkan RTM sedang berusaha untuk mendapatkan hak penyiaran Piala Eropah 2019,” katanya.

Copa America 2019 akan berlangsung pada 14 Jun hingga 7 Julai di Brazil akan melibatkan 12 pasukan termasuk dua pasukan jemputan dari Asia iaitu Jepun dan Qatar. Mereka merupakan finalist kejohanan Piala Asia yang diadakan pada Januari lepas.

Kumpulan Copa America 2019 yang berlangsung di Brazil

Kumpulan A dihuni oleh juara lima kali Piala Dunia dan juga tuan rumah iaitu Brazil bersama Bolivia, Venezuela dan Peru.

Manakala Kumpulan B pula dihuni juara Piala Asia Qatar bersama Argentina, Colombia dan Paraguay. Jepun pula berada dalam Kumpulan C bersama Uruguay, Equador dan juara bertahan, Chile.

Format untuk melayakkan ke pusingan seterusnya adalah dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak secara automatik ke suku akhir bersama dengan dua pasukan terbaik di tempat ketiga kumpulan.

Sebelum ini, Copa America berlangsung pada tahun-tahun ganjil. Namun bermula edisi 2020, Copa America akan berlangsung pada tahun yang sama dengan Piala Eropah.

Oleh itu, jika perkara ini terjadi, para peminat bola sepak bakal menyaksikan Copa America akan dilangsungkan dua tahun berturut-turut iaitu di Brazil pada 2019 dan Amerika Syarikat pada 2020.

Foto : MyRepublica