Connect with:




RSC beri penghormatan pada wira 1972
Kelab Diraja Selangor (RSC) memberi penghormatan kepada legenda bolasepak tanahair yang pernah beraksi di temasya Olimpik 1972 dengan melancarkan tabung kebajikan khas sempena kejohanan 19th RSC-Tiger International Soccer 7s dan 17th RSC-Milo Under-12 International Soccer 7s 2019.

Hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah bekas pemain kebangsaan dan juga pemain dari skuad bolasepak Olimpik 1972 seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Shukor Salleh, Datuk Mohamad Bakar dan Rahim Abdullah. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Datuk Santokh Singh yang merupakan pemain dari Pasukan Bolasepak Olimpik 1980 di Moscow dan juga Datuk N.Thanabalan bekas penyerang pasukan Selangor yang pernah menjaringkan hattrick pada perlawanan akhir Piala Malaysia 1968.

“Kami amat berbangga untuk mengumumkan tentang penubuhan tabung ini yang akan diuruskan selama setahun, hasil kerjasama kami bersama Persatuan Bekas Pemain Negeri dan Bekas Pemain Negara Malaysia,” ujar Sylvester Devaraj Anthony, Presiden Kelab Diraja Selangor.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan pihak kami berbesar hati diatas inisiatif yang diambil oleh pihak RSC. Ini merupakan satu penghormatan kepada wira-wira negara dari tahun 1972, khususnya bagi mereka yang memerlukan pertolongan,”ujar Soh Chin Aun, Presiden Persatuan Bekas Pemain Negeri dan Bekas Pemain Negara Malaysia.

Menurut Sylvester, kejohanan pada tahun ini akan didedikasikan khusus untuk wira negara dari pasukan bolasepak 1972. Dia juga turut berpandangan rakyat Malaysia dari semua peringkat umur harus memainkan peranan masing-masing bagi memberi bantuan kepada wira negara ini.

“Mereka telah mengharumkan nama negara dan mereka wajar untuk diberi penghormatan,” kata Sylvester.

Kejohanan antrabangsa ini yang dianjurkan sejak tahun 2001 menyaksikan penyertaan pasukan bolasepak dari Australia, Brunei, India, Indonesia, Korea, Maldives, Belanda, Singapura, Sri Lanka, dan Thailand.

Objektif utama kejohanan ini adalah untuk memupuk tali persahabatan melalui bolasepak untuk semua peringkat umur, termasuklah dari ahli keluarga, sahabat dan juga penyokong yang tidak pernah gagal untuk hadir member sokongan sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Kejohanan ini akan menampilkan tiga kategori- Bawah-12, Masters (40 tahun dan keatas), dan Grand Masters (50 tahun dan keatas). Untuk kejohanan kali ini, sebanyak 16 pasukan telah mengesahkan penyertaan bagi Bawah-12, 12 pasukan bagi kategori Masters manakala 16 pasukan akan berentap dalam kategori Grand Masters.

Venue utama kejohanan bagi edisi kali tahun ini dijadualkan akan berlangsung Sports Annexe, Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara dari 3 hingga 4 Ogos. Pihak Tiger telah berbesar hati untuk memberi penajaan untuk kategori senior manakala Milo menjadi penaja utama bagi kategori Bawah-12.

Para peminat bolasepak boleh hadir dan sama-sama memeriahkan kejohanan yang akan berlangsung selama dua hari bermula dari pukul 8.30am hingga 5.00pm.