Connect with:




Meskipun menampilkan keputusan positif pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Thailand minggu lalu, pelumba lagenda, Valentino Rossi mengingatkan Yamaha agar tidak berasa lega dengan masalah jentera yang dipercayai telah berjaya mereka atasi sepenuhnya.

Sebelum ini di Grand Prix (GP) Aragon, Rossi berserta rakan sepasukan, Maverick Vinales mempamerkan tunggangan hambar sekaligus meletakkan mereka masing-masing pada kedudukan kelapan dan sepuluh, namun di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, jentera Yamaha tampak lebih kompetitif tidak seperti sebelumnya.

Yamaha jelas melakukan penambah baikan terhadap jentera mereka, buktinya Rossi sendiri berjaya meraih petak kedua di belakang pelumba Repsol Honda, Marc Marquez, namun beliau tampak gagal mengekalkan penguasaan hingga ke akhir perlumbaan dan terpaksa akur berada pada kedudukan ke empat sementara Vinales berjaya menaiki podium pada kedudukan ketiga.

Keputusan memberangsangkan itu nyata belum cukup untuk membuat Rossi lega sebaliknya beliau menegaskan agar Yamaha jangan berpuas hati dengan apa yang dicapai sekarang dalam satu perlumbaan, sebaliknya mencari solusi untuk kembali konsisten bersaing memandangkan pasukan itu jauh ketinggalan sepanjang kempen musim ini.

“Amat berisiko buat Yamaha jika merasakan sudah berhasil mengatasi masalah jentera yang dihadapi musim ini dan ianya satu pemikiran yang sangat tidak masuk akal.

“Bukan pertama hal sebegini terjadi, dulu pernah juga jurutera kami berpuas hati serta rasa gembira setelah Vinales melakukan catatan masa terpantas dan mereka melompat kegembiraan sambil menjerit “kita sudah berhasil!”, katanya.

Rossi menambah bahawa jurutera Yamaha agak cepat berpuas hati dengan prestasi sedangkan pasukan lain sentiasa meningkat lebih baik setiap masa dan menyifatkan jika dirinya seorang jurutera Yamaha pasti beliau akan senantiasa gusar mengenai perlumbaan akan datang.

“Kalaulah saya jurutera Yamaha, pasti saya akan membuat analisis terperinci semua keputusan bahagian kedua musim ini dan saya yakin saya tidak akan gembira dengan pencapaian semasa kami kerana kami mendahului diawal perlumbaan semata untuk kalah di hujung perlumbaan,” ujarnya lagi.