Connect with:




Meskipun rakan sepasukannya, Maverick Vinales meraih kemenangan Ahad lalu, pelumba MotoGP Yamaha Movistar berpendapat kemenangan itu tidak memberi perubahan besar buat pasukannya.

Pada saingan Grand Prix (GP) Australia yang berlangsung di Litar Philip Island, Vinales yang menunggang jentera Yamaha M1 berjaya menamatkan kemarau gelaran dalam 25 perlumbaan yang ditempuhi apabila muncul pelumba pertama yang tiba ke garisan penamat.

Namun begitu, Rossi mempunyai pandangan sendiri mengenai kemenangan Vinales itu. Beliau merasakan kemenangan itu bukanlah petunjuk positif bagi membuktikan prestasi pasukan Yamaha sudah kembali ke tahap optimum serta mampu mengatasi pencabar terbesar seperti Honda dan Ducati pada musim hadapan.

“Tentu saja kemenangan Vinales sesuatu yang baik buat dirinya dan juga pasukan kami kerana akhirnya kami dapat akhiri kemarau kejuaraan.

“Namun bagi saya masih terlalu awal untuk berpuas hati kerana semua anggota pasukan harus memastikan peningkatan ini kekal konsisten dan kemenangan Vinales itu mampu menjadi penyuntik semangat terbesar buat kami,” katanya.

Meskipun gagal menempatkan diri pada kedudukan terbaik di saingan GP Australia itu, Rossi yang merupakan bekas juara dunia tujuh kali tetap menyanjungi kemenangan rakan sepasukannya itu.

“Hakikatnya jentera kami tidak jauh berbeza, namun ia memberikan impak berbeza kerana cara tunggangan kami tidak sama.

“Vinales mampu membuat pecutan lebih baik, selain dia tidak melakukan banyak kesilapan mudah, saya gembira untuk beliau,” ujarnya lagi.

 

Foto : Facebook Yamaha MotoGP

Sumber : Movistar Yamaha MotoGP | Homepage