Ronaldo Berang Dianiaya Persekutuan Bola Sepak Sepanyol 

Layanan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol dianggap satu penganiayaan terhadap Cristiano Ronaldo selepas pihak tersebut menolak rayuannya terhadap penggantungan lima perlawanan.

Hal itu menyebabkan Ronaldo terlepas aksi kedua Piala Super Sepanyol menentang Barcelona di Madrid sebentar tadi serta empat perlawanan pertama Madrid dalam kempen La Liga musim ini.

Menurut Pemain Terbaik Dunia itu, perkara ini begitu keterlaluan dan tidak masuk akal.

“Sukar untuk menangani situasi ini, 5 perlawanan!!” tulisnya di Instagram.

“Ini dipanggil penindasan!

“Terima kasih kepada rakan sepasukan kerana sokongan anda dan penyokong!!!”

Difahamkan Bintang Portugal itu dibuang padang secara kontroversi ketika Madrid menang aksi pertama Piala Super 3-1 di Nou Camp, Ahad lalu.

Ronaldo tampil dari bangku simpanan untuk membantu Madrid mendahului 2-1 namun kemudian dilayangkan kad kuning apabila menanggalkan jersinya ketika meraikan gol itu.

Seterusnya, dia dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil Ricardo de Burgos Bengoetxea yang berasakan dia sengaja menjatuhkan diri untuk cuba mendapatkan sepakan penalti lapan minit sebelum tamat.

Selepas dilayangkan kad merah ke-10 sepanjang kariernya, Ronaldo kemudian dilihat menolak sedikit belakang pengadil itu.

Foto Kredit: The42 Website