Connect with:




Kehadiran penyerang legenda Brazil, Ronaldo Luis Nazario de Lima ke Johor Bahru untuk bertemu pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, semalam bakal membuka ruang kepada bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk berlatih dengan kelab La Liga Sepanyol, Real Valladolid.

Jika rundingan tersebut menjadi kenyataan dengan pemilik kelab dari Sepanyol itu, ini bermakna pemain muda JDT bakal berpeluang untuk menimba ilmu dengan skuad Real Valladolid B yang bersaing dalam saingan Segunda B.

Setelah JDT diperbaharui oleh Tunku Ismail sehingga berjaya mencipta pelbagai kejuaraan liga domestik serta Asia, sudah pasti bakal menarik minat bekas pemain terbaik dunia sebanyak tiga kali itu untuk bekerjasama untuk pembangunan bola sepak Harimau Selatan itu.

Walau bagaimanapun, ini bukanlah pertama kali JDT bekerjasama dengan kelab antarabangsa, terbaru JDT terus mengorak langkah untuk mengukuhkan kelab apabila menjalinkan kerjasama dengan gergasi bola sepak Itali, Juventus.

Selain itu, JDT juga pernah menghantar pemainnya untuk menimba ilmu di Eropah seperti Gary Steven Robbat yang pernah menjalani latihan bersama kelab Jerman, Borussia Dortmund manakala Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan pula ke Portugal bersama kelab Vilaverdenden FC pada 2008.

Malah JDT juga menggunakan khidmat jurulatih dari Borussia Dortmund dan kelab Sepanyol, Valencia CF untuk pembangunan akademinya.

Sebelum ini, ketibaannya Ronaldo di Johor, beliau dibawa melawat prasarana dan infrastruktur yang dimiliki JDT di Pusat Latihan Padang Seri Gelam, Johor sebelum menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) antara JDT menentang kelab dari Korea Selatan, Gyeongnam FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada sebelah malamnya.

Mengikut kenyataan daripada Johor Southern Tigers, kehadiran Ronaldo telah mencipta satu lagi sejarah yang cukup manis buat JDT apabila pemain pernah bermain untuk Barcelona, Real Madrid, AC Milan and Corinthians ini akan menyaksikan perlawanan sulung ACL di Johor.


Penyerang legenda Brazil, Ronaldo Luis Nazario de Lima dibawa melawat prasarana dan infrastruktur yang dimiliki JDT di Pusat Latihan Padang Seri Gelam, Johor sebelum menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) antara JDT menentang kelab dari Korea Selatan, Gyeongnam FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam.

Ronaldo yang diberikan gelaran ‘Ronaldo II Fenomeno’ telah mengambil alih pemilikan Real Valladolid selepas membeli 51 peratus saham kelab itu daripada presidennya, Carlos Suarez pada 3 September tahun lalu.

Beliau dilaporkan telah membayar sekitar 30 juta euro (RM143.69), untuk memiliki kelab yang telah mempunyai 90 tahun sejarah bola sepak. Kini pasukan itu telah diperkuatkan dengan pemain kelahiran Turki, Enes Unal yang dipinjamkan dari Villareal sejak Julai 2017 dan Daniele Verde yang dipinjamkan dari AS Roma.

Real Valladolid kini berada di tangga ke-17 La Liga dan juga merupakan antara 13 kelab terbaik Sepanyol apabila pernah berada selama 43 musim di divisyen utama.

JDT pula telah menjuarai Liga Super sebanyak lima kali, Piala Malaysia (2017), Piala FA (2016) serta Piala Sumbangsih (2015 dan 2016), malah kelab ini muncul pasukan pertama dari Malaysia menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Malah JDT juga merupakan kelab Malaysia pertama yang layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia. – Metro

Foto : Johor Southern Tigers