Patrick Menandatangani Kontrak Setahun Bersama PKNS

 

“Saya mahu jadikan PKNS antara pasukan digeruni di Malaysia disamping menjaringkan 20 gol peribadi dalam kempen musim depan”.

Itulah janji bekas pemain Sime Darby, Patrick Ronaldinho Wleh yang baru sahaja menandatangani kontrak bersama pasukan barunya, PKNS FC.

Pemain Liberia ini jelas bersemangat untuk membantu pasukan barunya ketika ditemui dalam satu sesi ringkas menandatangani kontraknya dengan PKNS di Shah Alam Convention Center, semalam.

Ronaldinho yang menjaringkan 27 gol pada musim lepas berkata PKNS menjadi pilihan barunya kerana mahu membuktikan dirinya mampu beraksi cemerlang di Liga Super.

“Saya tahu saingan Liga Super lebih sengit berbanding Liga Perdana jika dilihat senarai pasukan dan pemain yang bertanding. Namun saya berjanji akan memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan sekaligus membantu PKNS mencapai sasaran 5 terbaik musim hadapan” kata Ronaldinho lagi.

Bagi Presiden PKNS FC, Noor Hisham Mohd Gouth, pemilihan Ronaldinho sangat bertepatan dalam mengisi ketumpulan jentera serangan pasukan selama ini.

“Dia (Ronaldinho) sememangnya mempunyai reputasi yang hebat sebagai penyerang prolifik berdasarkan jumlah jaringannya bersama Sime Darby musim lepas” kata Noor Hisham.

Dalam pada itu, Noor Hisham menegaskan pasukannya akan melepaskan Azrif Nasrulhaq ke Harimau Muda A demi kebaikan kareernya sebagai pemain bolasepak.

Selain itu, pasukan masih akan mengekalkan jurulatih Haji Abdul Rahman Ibrahim dan pemain import, Helmi Loussaief dalam kempen liga 2012.

“Sasaran kita musim hadapan adalah menjadi 5 pasukan terbaik liga. Jadi pasukan dijangka akan melakukan 30% perubahan dalam senarai pemain yang hanya akan kita umumkan pada bulan Disember nanti” jelas Noor Hisham lagi.

PKNS menduduki tempat ketujuh Liga Super musim lepas selain tersingkir di pusingan pertama Piala FA dan Piala Malaysia.