Kuala Lumpur : Rombakan besar-besaran para pemain yang dilakukan Hong Kong bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019 memberi halangan besar buat skuad Harimau Malaya pada 10 Oktober ini.

Aksi seri 1-1,Kumpulan B di Stadium Hang Jebat, 5 September lalu menjadi penyebab skuad Hong Kong membawa masuk 10 orang pemain baru untuk menentang Harimau Malaya.

Jurulatih Hong Kong, Kim Pan-Gon membawa masuk tiga pemain naturalisasi, Jorge Tarres Paramo (Sepanyol), Godfred Karikari (Ghana) dan James Stephen Ghee (England) bagi memantapkan lagi skuad itu.

Dalam menguji skuad barunya, Hong Kong menyasarkan Laos sebagai pasukan ujian yang akan bermain di Stadium Mongkok, hari ini.

Perlawanan persahabatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada pemain sekali gus menguji jentera serangan baru mereka.

Bukan terhenti di situ, Hong Kong juga memperkuatkan bahagian pertahanan pasukan dengan menyenaraikan tiga lagi pemain naturalisasi, Daniel Cancela, Roberto Orlando Affonso (Brazil) dan Fernando Recio Comi (Sepanyol) dalam kempen kali ini.

Pengambilan tiga pemain pertahanan ini dipilih berdasarkan kualiti permainan mereka dalam kancah bola sepak Hong Kong tujuh tahun lalu dan tidak salah memberi mereka peluang bermain di peringkat antarabangsa.

Segala perubahan yang berlaku bertujuan untuk memburu kemenangan pertama di laman sendiri selepas mereka hanya seri dan tewas sekali dalam edisi kelayakan Piala Asia 2019.

Foto Kredit: Asiana.MY