Connect with:




Kecederaan yang dialami seorang penyokong Liverpool, Sean Cox selepas diserang penyokong Roma menerima reaksi dari pelbagai pihak termasuk kelab Roma sendiri.

Baru-baru ini, Roma memberitahu akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak 150,000 euro (RM712,238 juta) kepada keluarga Cox yang mederita kecederaan otak akibat daripada serangan itu.

Penghormatan Dari Pemain Liverpool buat Sean Cox. Foto/ Liverpool FC

Insiden tersebut menyaksikan Cox yang juga bapa kepada tiga anak dalam perjalanan untuk menonton aksi separuh akhir Liga Juara-Juara di Anfield dan diserang dua penyokong fanatik Roma April lalu.

Lebih menyedihkan, ketika ini dia masih belum boleh bercakap ataupun duduk kesan daripada kecederaan otak yang dialami.

“Apa yang berlaku kepada Sean Cox sepatutnya tidak boleh berlaku kepada sesiapapun dalam mana-mana perlawanan bola sepak,” kata presiden kelab, Jim Pallotta dalam satu kenyataan.

“Doa dan ingatan kami hari ini bersama Sean, Martina dan seluruh keluarganya. Kami berharap Sean dapat sembuh secepat mungkin.”

“Kehidupan kami seperti terbalik dengan apa yang berlaku kepada Sean,” kata isterinya, Martina.

“Tidak ada tanda yang Sean akan dapat pulang ke rumah dalam tempoh terdekat ini dan biarpun usaha berterusan dilakukan pakar yang akan mengambil tempoh bertahun-tahun, dia mungkin memerlukan penjagaan rapi di sepanjang hidupnya.”

“Kami sangat menghargai sumbangan AS Roma hari ini dan Pallotta, lebih-lebih lagi dengan bantuan bagi membantu tahun-tahun mendatang yang perlu diharungi Sean.”

“Selain sumbangan kewangan, Roma turut bersetuju untuk bekerja bersama keluarga Cox bagi membantu mengurangkan kos akan datang yang ditanggung Sean pada masa akan datang,” kata kelab itu.

Menerusi Yayasan kebajikan Roma, mereka menyumbang 100,000 euro (RM474,825) manakala Pallotta menghulurkan sumbangan peribadi bernilai 50,000 euro (RM237,412).