Musim baru siri Jelajah Dunia Match Racing bermula di Tasik Constance, Langernargen, Jerman dari 23-28 Mei baru-baru ini. ‘Match Racing’ Jerman disertai oleh tujuh dari sembilan ‘skipper’ yang memegang Kad Jelajah.

Juara dunia sebanyak empat kali, Peter Gilmour (YANMAR Racing) mengetuai cabaran dan beliau disertai oleh ‘skipper’ lain yang berpengalaman seperti Bjorn Hansen (Mekonomen Sailing),

Keith Swinton (Black Swan Racing) dan Phil Robertson (WAKA Racing). Namun juara dunia 2011, Ian Williams (GAC Pindar) memilih untuk tidak bertanding dalam edisi ini.

Tiga pemegang kad jelajah yang baru turut beraksi buat kali pertama di Tasik  constance baru-baru ini. Laurie Jury (Kiwi Match), Simone Ferrarese (Ferrarese Racing) dan Pierre Antoine-Morvan (Vannes Aggro) membuktikan bahawa mereka mampu untuk bersaing bersama dengan pelayar-pelayar yang lebih berpengalaman.

Melengkapkan senarai dua belas pelayar yang bertanding dalam edisi pembuka tirai kepada Alpari WMRT 2012 ini ialah Staffan Lindberg (Alandia Sailing), Eric Monnin (Okalys Corum), Joachim Aschenbrenner (Trifork), Karol Jablonski (Jablonski Sailing) dan Jan-Eike Andresen (NRV).

Antoine-Morvan mencipta kejutan apabila menamatkan pusingan kelayakan di tempat teratas dengan rekod 9-2 dan menerima ‘bye’ ke peringkat separuh akhir. Namun Ferrarese gagal menyerlah dan tersingkir bersama-sama dengan seorang lagi pemegang kad jelajah, Hansen.

Sementara itu, Gilmour terpaksa menggunakan sepenuh pengalamannya untuk menamatkan saingan pusingan kelayakan di tempat ke tujuh dengan rekod 5-6 sama seperti dua pelayar lain iaitu Jablonski dan Archenbrenner namun pelayar Poland itu tersingkir dari saingan berdasarkan pengiraan semula.

Dalam saingan suku akhir, Gilmour menewaskan rakan senegaranya, Swinton untuk bertemu dengan Robertson yang mengenepikan pencabar dari Denmark, Archenbrenner. Jury pula menamatkan cabaran Monnin dalam satu lagi perlawanan suku-akhir untuk bertemu dengan Antoine-Morvan yang mendapat ‘bye’ ke peringkat itu.

Pertemuan di antara pemegang kad jelajah kali pertama itu menyaksikan ianya berpihak kepada pelayar dari New Zealand dan menunggu beliau di peringkat akhir ialah Robertson yang berjaya menewaskan Gilmour dalam satu perlawanan yang sengit.

Namun ketiadaan angin di peringkat akhir menyaksikan jawatankuasa perlumbaan memutuskan¬†penentuan juara terpaksa dilakukan melalui pengiraan semula yang akhirnya menyaksikan Robertson berjaya bergelar juara buat kali pertama dalam karier ‘match-racing’nya.

Proses yang sama juga menyaksikan Antoine-Morvan memenangi perlawanan akhir ‘petit’ membolehkan pelayar Perancis itu menaiki podium buat kali kedua berturut-turut selepas dia melakukan perkara yang sama ketika kejohanan ‘Match-Race’ St Moritz 2011 di mana dia berjaya menduduki tempat kedua.

Kejayaan Robertson di Tasik Constance ini pasti akan menjadikan dia sebagai tumpuan apabila Kejohanan Korea ‘Match Cup’ bermula dari 30 Mei hingga 3 Jun di Gyeonggi, Korea Selatan.

Cabaran pasti akan lebih terasa apabila Williams akan turun buat kali pertama tahun ini dalam misi mempertahankan kejuaraannya.