Connect with:




Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), RAJA Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah menolak kongres luar biasa (EGM) yang diadakan malam tadi oleh golongan tertentu itu sebagai suatu yang sah.

Tambahnya lagi, kongres berkenaan sebenarnya hanyalah satu pertemuan biasa dimana baginda turut tidak mengiktirafnya kerana menganggap ia membelakanginya sebagai presiden Persatuan itu.

“Beta dimaklumkan telah terdapatnya sebuah perjumpaan yang kononnya kongres luar biasa yang diadakan pada 8 November 2018 jam 8.00 malam di Nouvelle Hotel, Seri Kembangan untuk memilih Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Selangor yang baharu untuk penggal 2017-2021.

“Di dalam ‘perjumpaan’ tersebut, Beta telah kononnya dipilih sebagai Presiden FAS oleh kumpulan yang menghadiri ‘perjumpaan’ tersebut tanpa persetujuan daripada Beta,” katanya dalam suatu kenyataan.

“Beta sekali lagi ingin menekankan bahawa ‘perjumpaan’ tersebut tidak sah, tidak mengikut prosedur yang betul dan tidak diiktiraf oleh Beta dan juga persatuan. FAS telahpun mengadakan beberapa mesyuarat dan perbincangan dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak isu ini timbul dan segala maklumat serta bukti mengapa ‘perjumpaan’ ini tidak sah telah pun kami berikan,” katanya.

Bukan itu sahaja, EGM yang tidak mematuhi Artikel 30 dalam Statut badan induk berkenaan juga tidak diiktiraf manakala ‘lantikan semula’ jawatankuasa eksekutif tidak diperkenankan.

“Mereka gagal untuk megemukakan sebarang bukti kepada PSM dan FAM untuk menunjukkan mereka mempunyai korum yang secukupnya untuk mengadakan kongres apabila telah diminta untuk berbuat demikian.

“Dengan demikian Beta menolak dan tidak mengiktiraf sebarang keputusan yang telah diadakan pada perjumpaan yang kononnya ‘kongres’ tersebut diadakan pada 8 November 2018, termasuk kononnya ahli jawatankuasa FAS yang baharu dilantik,” katanya lagi.

Untuk pengetahuan, seramai 52 ahli gabungan FAS bersetuju untuk menganjurkan EGM termasuklah pemecatan 55 individu dan wakil dari kelab gabungan menganggotai Jawatankuasa Tetap FAS tanpa sebab munasabah.

Foto: pinterest