Connect with:




Rindu rakyat Malaysia masih belum terubat apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk tidak menurunkan wira badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di Kejohanan Terbuka Malaysia 2019 atas faktor kesihatan.

Mengikut undian, pusingan pertama menyaksikan Chong Wei bakal berdepan jaguh India, K. Srikanth pada pusingan pertama, namun dia mengambil keputusan untuk mengundurkan diri.

BAM dalam satu kenyataan semalam menjelaskan bahawa doktor yang merawat bekas pemain nombor satu dunia itu di Taiwan telah menasihatkan agar dia tidak bertanding dalam kejohanan tersebut bagi memastikan badannya tidak menerima sebarang tekanan.

“Sebenarnya kondisi Chong Wei telah jauh lebih baik, namun doktor memberitahu agar dia tidak mengikuti sebarang kejohanan buat sementara waktu supaya tubuhnya tidak menghadapi sebarang tekanan.

“Kesihatan Chong Wei menjadi keutamaan BAM, kami akan terus memberi semangat kepadanya. Kami juga menggesa semua pihak untuk memberinya ruang dan waktu dalam proses pemulihannya,” ujar BAM

Pada tahun lalu, Malaysia dikejutkan dengan pemain berusia 36 tahun itu berdepan dengan masalah pernafasan yang akhirnya membawa kepada masalah kanser hidung dan menjalani rawatan secara rahsia di Taiwan bagi menyembuhkan penyakitnya.

Susualan penarikan diri Chong Wei, BAM akan menurunkan para atlet mudanya seperti Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven sebagai pengganti sang legenda.