Connect with:




Gareth Southgate memanggil pemain muda yang berbakat besar, Declan Rice buat kali pertama untuk menyertai Three Lions bagi aksi kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech dan Montenegro hujung bulan ini.

Keputusan yang diambil oleh Declan Rice untuk mengubah kesetiaannya kepada England daripada Republik Ireland berbaloi dengan pretasinya yang meningkat di West Ham.

Pemain tengah West Ham itu melakukan tiga penampilan bersama Republik Ireland namun semuanya pada perlawanan persahabatan. Ini bermakna dia masih boleh beraksi untuk England.

Pemain yang berusia 20 tahun itu dilahirkan di London namun layak bermain untuk Ireland kerana hubungan kekeluargaan di sebelah bapanya.

Walaubagaimanapun, selepas memikirkannya, Rice mengumumkan dia bersedia bermain untuk England bulan lalu. Perubahan itu juga mendapat pengesahan daripada FIFA minggu lalu.

“Saya fikir ia satu keputusan besar apabila anda meminta pemain berpindah persatuan. Anda perlu berasa yakin bahawa anda rasakan mereka ada masa depan bersama anda.

“Lagipun tidak ada sebarang jaminan diberikan kepadanya kerana saya fikir ia amat penting. Anda perlu bermain dengan bagus untuk berada dalam skuad, tapi persembahannya memang amat cemerlang”, kata Southgate.

Selain memanggil Rice, Southgate turut mengekalkan tonggak utama yang membantu England layak ke separuh akhir Piala Dunia tahun lalu dan mara ke separuh akhir Liga Negara Eropah, Jun ini.

Penjaga gol: Jack Butland (Stoke City), Jordan Pickford (Everton), Tom Heaton (Burnley)

Pertahanan: Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Ben Chilwell (Leicester City), Harry Maguire (Leicester City), Michael Keane (Everton), Luke Shaw (Man United), John Stones (Man City), Kyle Walker (Man City), Danny Rose (Tottenham Hotspur), Kieran Trippier (Tottenham Hotspur), James Tarkowski (Burnley)

Tengah: Dele Alli (Tottenham Hotspur), Eric Dier (Tottenham Hotspur), Jordan Henderson (Liverpool), Ruben Loftus-Cheek (Chelsea), Ross Barkley (Chelsea), Declan Rice (West Ham), Fabian Delph (Man City)

Penyerang: Marcus Rashford (Man United), Jadon Sancho (Borussia Dortmund), Harry Kane (Tottenham Hotspur), Callum Wilson (Bournemouth), Raheem Sterling (Man City)

Foto: West Ham United FC