Connect with:




PBNS mengumumkan jenama Rhino sebagai penaja rasmi untuk jersi pasukan Negeri Sembilan dalam mengharungi Liga Premier musim ini.

Penajaan ini melibatkan set lengkap sukan jenama Rhino, kit latihan, dan pakaian kasual yang bakal digunakan oleh pasukan Liga Premier, Piala Presiden, Piala Belia untuk tahun 2019 dan 2020. Rhino turut komited dalam program pembangunan PBNS melalui penajaan kelengkapan jersi pelatih Akademi Bola Sepak Zaaba dan Program ‘Soccer Kids’ PBNS.

Keseluruhan penajaan ini bernilai RM2 juta.

“Kami amat berbesar hati dengan kehadiran Rhino sebagai penaja jersi kami pada musim ini. Kesudian jenama antarabangsa menaja kami membuktikan pasukan Negeri Sembilan tahun ini mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan,” ujar Presiden PBNS, Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Menurut Pengerusi Rhino SEA, Nizamuddin Hamid, kerjasama dengan PBNS ini diharap dapat meningkatkan lagi semangat para pemain dan penyokong Negeri Sembilan selain membantu memperkenal jenama Rhino kepada para peminat sukan tanah air.

Rhino merupakan jenama sukan dari United Kingdom yang menempa nama dalam arena sukan antarabangsa sebagai pengeluar kit latihan dan taktikal ragbi nombor satu dunia.

Pada tahun 2018, Rhino bertapak buat kali pertama di Asia Tenggara menerusi pemegang lesennya, Rhino Southeast Asia (Rhino SEA); dan Negeri Sembilan merupakan pasukan pertama yang dipilih bagi memulakan langkah mereka di rantau ini.

PBNS bersama Rhino SEA akan mengadakan majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi PBNS di Mydin Seremban 2 pada 27 Januari 2019 nanti. Segala maklumat lanjut mengenai jersi rasmi PBNS 2019 akan diumumkan semasa majlis pelancaran.

Para peminat pasukan Hobin Jang Hobin juga boleh membeli jersi rasmi PBNS 2019 yang akan dijual di majlis tersebut sebaik sahaja acara pelancaran rasmi diadakan.
Majlis tersebut juga akan dimeriahkan lagi dengan persembahan bintang hip-hop Waris dan Zizi Kirana.