Connect with:




Pemain remaja kebangsaan K. Rhaasrikanesh dan Winnie Ng muncul juara edisi ke-11 Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin (TSM) 2019 di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara semalam.

Kejuaraan bagi kategori lelaki terpaksa ditentukan melalui playoff selepas Rhaasrikanesh dan pendahulu pusingan ke-2, Muhammad Ikmal Basry yang terikat dengan 217 pukulan selepas tamat tiga pusingan.

Pada saingan penentuan lubang pertama di lubang ke-18, kedua-dua pemain menunjukkan saingan yang sengit apabila berjaya melakukan pukulan par sebelum Rhaasrikanesh berjaya mendapatkan birdie pada lubang berikutnya manakala Muhammad Ikmal hanya mendapatkan bogey yang seterusnya memberikan kejuaraan kepada Rhaasrikanesh pada edisi kali ini.

Tempat ketiga bagi kategori lelaki dirangkul oleh Adam Arif Madzri yang mewakili Selangor dengan mencatat jumlah keseluruhan 220 pukulan.

Sementera itu, Winnie Ng yang mewakili Selangor telah berjaya mendahului kategori wanita sejak hari pertama lagi memenangi saingan dengan kelebihan 12 pukulan apabila mencatat jumlah keseluruhan 206 pukulan berbanding pencabar terdekat dan juga rakan sepasukan, Liyana Durisic.

Liyana mencatat 218 pukulan keseluruhan selepas tamat saingan pusingan ketiga manakala tempat ketiga berjaya dimenangi oleh Ashley Goh yang mewakili Johor berjaya mencatat 218 pukulan yang menyamai Liyana dan kedua-dua pemain terpaksa melalui Kiraan Semula (OCB) selepas mencatat 218 mata yang sama. Ashley terpaksa berpuas hati dengan tempat ketiga kejohanan.

Juara lelaki membawa pulang hadiah biasiswa bernilai RM25,000 serta trofi kejuara, temapt kedua RM15,000 dan ketiga RM10,000 manakala juara wanita membwa pulang hadiah biasiswa bernilai RM20,000 serta trofi kejuaraan, kedua RM10,000 dan ketiga RM5,000.

Hadiah pemenang telah disampaikan oleh pengasas kejohanan dan juga Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di TPC Kuala Lumpur.

Dalam ucapan ringkas Muhyiddin, beliau berkata kejohanan amatur itu telah berjaya melahirkan ramai pemain negara seperti pemain nombor satu negara, Gavin Kyle Green serta adiknya, Kendall Green dan juga Ainil Johani Adbu Bakar dan Kelly Tan.

“Saya percaya dengan penganjuran ini telah membuktikan usaha kita bermula dari Tunas Bestari telah berjaya dengan kedua-dua yang menjadi juara pada hari ini iaitu Rhaasrikanesh dan Winnie adalah daripada Tunas Bestari yang kita lahirkan sebagai juara muda.

“Saya berharap mereka mampu menjadi contoh kepada anak-anak muda yang lain untuk mengikuti jejak langkah menjadi juara sukan golf pada suatu masa akan datang,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Penasihat TSMCG, Tan Sri Abd Rahim Mohamad, Presiden TSMCG, Dato Ir Zainuddin Mohd Radri, Presiden Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA), Tunku Puteri, Tunku puan Sri Dato Seri Jawahir Almarhum Tuanku Ja’afar.