Connect with:




“Saya tidak menjangkakan akan memenangi pemain terbaik perlawanan dan ini adalah atas usaha keras pasukan kami,” luah tonggak Dunia Sukan Troopers, Mus’ab Umair Mahadi dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan Kejohanan Hoki Media 5s Heattone yang berlangsung jayanya di Stadium Hoki Kuala Lumpur, kelmarin.

Kejohanan anjuran Kelab Hoki Media (KHM) itu berjaya menarik minit sembilan pasukan daripada pelbagai agensi media antaranya New Straits Times Press (NSTP), Utusan Malaysia, Kosmo!, Dunia Sukan, Astro Arena, TV3, Bernama, Mediaprima dan wakil penaja, Nona Roguy (NR).

Menurutnya, ini adalah kali pertama pasukannya menyertai pertandingan hoki dan tidak menjangkakan layak ke final.

“Kami tidak membuat persediaan untuk menyertai pertandingan ini dan hanya menyertai untuk merapatkan hubungan dengan pasukan media lain.

“Terima kasih pihak penganjur dan penaja atas pengajuran kejohanan ini yang julung kali diadakan dan diharap aktiviti sebegini diadakan lebih kerap lagi,” katanya.

Mus’ab Umair juga dinobatkan pemain terbaik berjaya membawa pulang kayu hoki jenama Dita tajaan Dita Malaysia.

Sementara itu, penaja kejohanan iaitu Ketua Pegawai Eksekutif MISB Resources, Syed Hidzir Tan Sri Datuk Syed Agil Barakbah berpuas hati dengan keseluruhan penganjuran kejohanan tersebut.

“Saya amat berpuas hati walaupun ini adalah kali pertama kejohanan hoki antara media dianjurkan. Saya berharap kejohanan ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Pihak kami sudi terus menaja kejohanan ini. Kami menyasarkan kejohanan akan datang lebih besar dan meriah dan mungkin boleh dianjurkan pada Julai atau Ogos tahun ini,” katanya.

Pada kejohanan itu, wakil NSTP iaitu NSTP Liku muncul juara dan membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM1,500, manakala Dunia Sukan Troopers meraih tempat kedua dan membawa pulang pingat serta wang tunai bernilai RM1,000.

Arena Fighters meraih tempat ketiga selepas menewaskan Utusan Malaysia pada penentuan tempat ketiga dan keempat untuk membawa pulang pingat dan wang tunai bernilai RM500.

Firdaus Hashim daripada NSTP Liku muncul penjaring terbanyak kejohanan membolehkannya memenangi kayu hoki jenama Dita tajaan Dita Malaysia, manakala Sufian Hadi Sojak memenangi beg Obo juga tajaan Dita Malaysia sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Kejayaan menganjurkan Kejohanan Hoki Media 5s Heattone menyaksikan pihak penaja, NR yakin kejohanan seterusnya anjuran mereka iaitu Kejohanan Badminton Heatton juga akan berjalan lancar di Alor Setar, Kedah pada 3 Mac ini.

“Penyertaan setakat ini amat menggalakkan dengan sudah hampir 250 peserta mengambil bahagian. Kami berharap penganjuran kejohanan ini dapat mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam arena badminton negara,” Syed Hidzir.