Connect with:




Sepakan penalti Marco Reus di penghujung babak masa tambahan memastikan pendahulu Bundesliga Borussia Dortmund menempah tiket ke pusingan ketiga Piala Jerman, setelah berhempas pulas untuk mengetepikan pasukan divisyen dua, Union Berlin dengan keputusan 3-2 awal pagi tadi.

Dortmund meneruskan rekod tanpa kalah dalam semua kejohanan setelah berhasil mematahkan kebangkitan yang cuba dipamerkan skuad Berliners sebanyak dua kali apabila Christian Pulisic,penjaring gol pertama yang turut bertindak sebagai perancang kepada gol kedua Dortmund berjaya memenangi sepakan penalti berharga yang disempurnakan Reus.

Skuad bimbingan Lucien Favre itu harus berterima kasih kepada kecemerlangan pemain Amerika Syarikat, Pulisic yang meledak gol pertama ketika Dortmund tampak berkerja keras untuk menundukkan pasukan di tempat ketiga divisyen dua itu.

“Satu perlawanan yang menarik dan cukup mendebarkan, mereka (Berliners) mempamerkan aksi melawan yang cukup bagus, mereka tidak senang mengalah.

“Penalti yang saya dapat tadi memang penting dan saya gembira ketua pasukan (Reus) berhasil menyempurnakannya,” kata Pulisic ketika sedang media selepas perlawanan.

Terpaksa membuat pertukaran seawal minit ke-`13 apabila Abdou Diallo terpaksa diusung keluar akibat kecederaan, naib juara Liga Juara-Juara 2012/2013 itu tidak berhasil menembusi benteng pertahanan lawan sehinggalah dipenghujung babak pertama.

Tandukan Shinji Kagawa pada minit ke-40 yang gagal ditampan kemas penjaga gawang Union Rafal Gikiewicz berjaya disambar Pulisic untuk gol pembukaan.

Dua minit berselang, Kenny Prince Redondo hampir mengikat kedudukan namun percubaan cantik yang dilakukan sekadar menggegar palang sebelum pemain gantian Sebastian Polter yang melakukan sentuhan pertamanya berjaya menemui jaringan.

Pemain sayap Dortmund, Maximilian Philipp merentap kegembiraan skuad Berliners 10 minit berselang apabila beliau bijak menyudahkan lorongan Pulisic untuk meletakkan Dortmund kembali di hadapan.

Union tampak enggan menyerah kalah apabila melancarkan serangan bertali arus kearah pintu gol Dortmund sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-88 setelah Polter sekali lagi berjaya menemui sentuhan penyudah apabila bijak menanduk masuk gol penyamaan mengatasi penjaga gol Dortmund, Marwin Hitz.

Memasuki masa tambahan, pasukan tuan rumah mempamerkan corak bertahan yang cukup kemas dengan sekali sekala melancarkan serangan balas namun Pulisic nyata menjadi mimpi ngeri buat Berliners apabila berjaya mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan pemain gantian Dortmund, Marco Reus.

Reus yang berjaya meledak gol kemenangan Dortmund pada minit ke-120 bagaimanapun mengakui beliau sedikit gugup kerana sudah agak lama tidak mengambil sepakan penalti pada saat yang penuh tekanan di hadapan penyokong tuan rumah seperti perlawanan awal pagi tadi.

“Ketika saya memegang bola untuk bersedia mengambil sepakan penalti saya sudah tahu masa sebenar sudah tamat, saya tahu semua peminat Dortmund mengharapkan saya untuk menyempurnakan penalti itu dan saya gembira saya tidak sia-siakan peluang yang diberi Pulisic,” katanya.

 

Foto : AFP

Sumber : BBC