Connect with:




Pengendali Borussia Dortmund, Lucien Favre menyifatkan pertembungan Der Klassiker German bertemu Bayern Munich yang berakhir dengan kemenangan 3-2 berpihak kepada pasukannya pagi semalam di Signal Iduna Park, sebagai satu perlawanan ‘gila’.

Kejayaan tersebut menyaksikan Dortmund kekal sebagai pendahulu Bundesliga dan mempunyai kelebihan empat mata keatas pencabar terdekat, Borussia Monchengladbach yang kini menghuni tangga kedua liga.

Bayern bagaimanapun terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi bekas penyerang Dortmund, Robert Lewandowski yang berjaya menanduk masuk hantaran lintang Serge Gnabry  dan kedudukan kekal 1-0 hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, ketua pasukan Dortmund, Marco Reus berjaya menyempurnakan sepakan penalti setelah beliau dijatuhkan penjaga gawang Bayern, Manuel Neuer pada minit ke-49 untuk mengikat kedudukan 1-1 sebelum Lewandowski sekali lagi mendatangkan masalah kepada bekas kelabnya itu apabila mudah menanduk masa hantaran lambung cantik dari Joshua Kimmich.

Mahmoud Dahoud banyak merubah rentak serangan pasukan Dortmund apabila berjaya melancarkan serangan bertali arus kearah pintu gol Bayern sebelum Reus sekali lagi mengikat kedudukan 2-2 menerusi rembatan kencang menewaskan Neuer sebaik menerima hantaran lintang Łukasz Piszczek pada minit ke-67.

Pemain gantian, Paco Alcacer muncul wira apabila tidak mensia-siakan lorongan cantik Axel Witsel apabila berjaya menumpaskan Neuer untuk memastikan gol kemenangan berpihak kepada Dortmund pada minit ke-73.

Aksi bangkit dari ketinggalan sebanyak dua kali yang dipamerkan serta kejayaan memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka menerima hamburan pujian dari Favre yang nyata berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

“Tahniah buat pemain-pemain saya kerana berjaya mencipta kebangkitan menakjubkan itu sebanyak kali ianya sungguh luar biasa. Apa yang boleh saya katakana, kami berhak keluar sebagai pemenang meskipun 30 minit pertama dikuasai Bayern.

“Saya pernah beberapa kali menyaksikan permainan mereka tetapi melihat mereka bermain matian-matian seperti itu, ini adalah kali pertama, secara jujurnya saya lega kerana kami hanya ketinggalan 0-1 di awal babak,” ujar Favre.

Favre yang pernah mengendalikan Nice mengakui bahawa keputusannya membawa masuk Mahmoud Dahoud menggantikan Julian Weigl adalah tepat apabila pemain  muda itu berjaya mengawal bahagian tengah bersama Axel Witsel.

“Kemasukan Dahoud adalah tepat apabila beliau bersama Witsel berjaya mengawal bahagian tengah pada separuh masa kedua. Saya akui kemasukan beliau merupakan salah satu faktor kejayaan kami menumpaskan mereka (Bayern),” ujarnya lagi.

 

 

Foto : AFP

Sumber : The Guardian