Pasukan Perak pernah menyingkirkan juara bertahan Piala Malaysia, Selangor, pada tahun 1998 dalam perlawanan kelayakan Piala Malaysia dengan jaringan agregat 3-2. Perlawanan playoff yang diadakan secara timbal balik itu telah dimenangi oleh pasukan Selangor pada perlawanan pertama dengan jaringan 1-0.

Walau bagaimanapun, skuad “Kejor Yob Kejor” yang ketika itu di bawah bimbingan ketua jurulatih, Karl-Heinz Weigang telah berjaya mengurangkan defisit gol sekaligus mencipta kemenangan 3-1 pada perlawanan timbal balik kedua hasil satu jaringan gol daripada Roslan Hamid, dan Laszlo Repasi yang berjaya membolosi benteng ampuh Selangor ketika itu yang diketuai oleh Mehmet Durakovic, sebanyak dua kali. Jaringan ’emas’ Laszlo Repasi pada minit ke 103′ berjaya memberi kemenangan kepada pasukan
Perak sekaligus melayakkan pasukan Perak untuk turut serta di dalam kempen Piala Malaysia dan berjaya mengekalkan tempat dalam Divisyen 1 manakala Selangor tersingkir ke Divisyen 2.

Jaringan ’emas’ yang dilakukan oleh Laszlo Repasi pada malam itu masih segar di dalam ingatannya, dan melihat kepada perkembangan perlawanan Suku Akhir kedua di antara Perak dan Selangor pada Jumaat ini, beliau berpendapat bahawa mungkin perlawanan ini melibatkan pasukan yang sama tetapi keadaannya jauh berbeza. Akan tetapi, beliau tetap yakin Perak mampu melakar kemenangan dalam perlawanan perlawanan timbal balik Suku Akhir kedua, Jumaat ini.

“Saya telah menyaksikan perlawanan pertama di antara pasukan Perak dan Selangor, yang berpihak kepada pasukan Selangor, 3-1. Situasi ini sedikit mengingatkan saya kepada situasi pada tahun 1998, di mana Perak perlu menang dalam perlawanan kedua. Walau bagaimanapun, ianya tetap tidak sama. Kerana lanskap bola sepak kini telah jauh berubah, dari pemilihan pemain sehinggalah corak permainan. Oleh itu, sukar untuk menyatakan sama ada sejarah yang sama akan berulang. Tetapi saya masih yakin skuad Perak masih mampu mencipta sesuatu untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.”

Repasi, 45, yang juga merupakan bekas penjaring gol terbanyak pasukan Perak, turut menyatakan bahawa Perak seharusnya berani mengambil risiko dalam perlawanan timbal balik yang kedua ini dan harus berani menggunakan taktik yang berbeza dalam perlawanan seterusnya.

Beliau dipetik berkata, “Pasukan Perak seharusnya mengekalkan cara permainan yang sama ketika mereka bolos kali ketiga. Pasukan Perak kelihatan lebih agresif dan lebih banyak menyerang serta tampak lebih yakin ketika itu. Taktik ini yang harus dipraktikkan oleh pasukan Perak, walaupun ianya berisiko. Perak tidak mempunyai pilihan lain kecuali dengan bermain secara menyerang. Inilah satu-satunya cara bagi pasukan Perak untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Kemenangan 2-0 di Ipoh nanti sudah mencukupi.”

Menurut beliau, terdapat beberapa kekangan yang harus diatasi oleh para pemain Perak untuk mencipta kemenangan.

“Pasukan Perak tidak mampu menewaskan pasukan Selangor pada perlawanan pertama kerana faktor keyakinan diri. Perkara ini saya telah perhatikan sejak awal permainan lagi dan harus dibaiki secepat mungkin.

Perlawanan tempoh hari adalah sejarah dan para pemain harus fokus dalam mengharungi perlawanan kedua. Selain itu, ketua pasukan Selangor(Amri Yahyah) serta pemain yang menjaringkan dua gol(Safiq Rahim) harus diberikan kawalan yang ketat, kerana mereka mempunyai kebolehan mencipta gerakan dan percubaan yang berbahaya daripada sudut yang tidak dijangka. Mereka cukup bagus dalam merencana serangan.”

Ketika ditanya adakah beliau ingin kembali terlibat dalam kancah bola sepak tempatan, beliau menyatakan bahawa beliau hanya menunggu “seruan” daripada pihak pengurusan Perak untuk kembali menabur bakti di sana. Kerana kini beliau hanya menghabiskan masanya bersama anak-anaknya.

“Saya sangat berminat untuk melibatkan diri dalam arena bola sepak Malaysia pada musim hadapan, terutamanya bersama pasukan Perak. Mengikut perancangan awal saya, saya ingin menubuhkan satu sekolah bola sepak untuk para remaja di Perak. Sekolah ini akan menjadi sekolah bola sepak yang terbesar di Malaysia. Mungkin usahasama dapat diakukan bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Perak mahupun ahli korporat yang berminat. Lebih lebih lagi dengan saranan Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM) yang kini mengutamakan pembangunan bola sepak. Pada masa yang sama juga, saya ingin membantu Ketua Jurulatih(Norizan Bakar) pada musim hadapan sekiranya diberi peluang untuk terlibat sama.”, ujar beliau.

Tambah beliau lagi,”Saya sangat rindukan suasana bola sepak di Malaysia, terutamanya para penyokong. Mereka sangat cintakan sukan bola sepak, sama seperti saya. Ini yang membuatkan saya ingin kembali ke Malaysia setelah sekian lama. Saya ingin berterima kasih kepada mereka yang masih ingat akan aksi saya pada suatu ketika dahulu.”

Repasi juga menyeru supaya penyokong memainkan peranan mereka sebagai “pemain ke-12” pada Jumaat ini(14 Oktober 2011) dengan hadir beramai-ramai ke stadium untuk menghidupkan kembali semangat skuad “Kejor Yob Kejor” seperti mana mereka berbuat demikian ketika beliau masih beraksi untuk pasukan Perak.