Connect with:




Pelari remaja Amerika Syarikat (AS), Matthew Boling berjaya melakar kejutan besar dalam arena olahraga apabila berjaya mencatat masa terpantas bagi pelari bawah 20 tahun dengan catatan 9.98 saat (s) dalam acara 100 meter (m) ketika Kejohanan Olahraga Texas semalam.

Tetapi malangnya catatan tersebut tidak diiktiraf sebagai rekod rasmi kerana atlet berusia 18 tahun itu menerima bantuan angin, sekali gus gagal memecahkan rekod yang dipegang oleh Trentavis Friday yang merekodkan kepantasan 10.00s pada 2014.

Walau bagaimanapun, larian cemerlang yang ditunjukan pelari yang digelar ‘White Lightning’ itu tetap berjaya memukau rakyat AS yang menganggap Boling sebagai permata baharu kepada AS dan beliau berpontensi menjadi atlet bintang masa akan datang.

Catatan yang dicatatkan oleh Boling itu hanya dibezakan 0.4s dengan pemegang rekod dunia 100m, Usian Bolt dari Jamaica. Bolt mencatatkan rekod dunia tersebut dengan 9.58s pada Kejohanan Olahraga Dunia pada 2009.

Boling mengakui tidak menyangka dengan catatannya itu, namun dalam masa yang sama beliau berjanji untuk bekerja keras dengan lebih lagi supaya impian untuk mewakili AS di peringkat antarabangsa bakal tercapai.

“Saya sangat gembira dengan catatan itu. Saya mulakan larian dengan agak baik dan selepas lima meter pertama saya tahu saya mampu mencatatkan masa yang terpantas.

“Jadi saya mengambil keputusan untuk meningkatkan tahap kelajuan larian saya dan ingin memberikan larian terbaik pada kali ini. Saya sangat gembira dengan kejayaan ini,” jelas Boling.

Boling akan melanjutkan pelarannya di Universiti Georgia pada Ogos depan dan berharap dapat mewaliki AS untuk bersaing dalam Temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. – Texas Monthly

Foto: Chron