Pahang akhirnya tewas buat kali pertama apabila tumbang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Jaringan Christie Jayaselan tujuh minit sebelum aksi tamat memastikan pasukannya, ATM menang tipis 3-2 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam tadi.

ATM membuka tirai jaringan hasil penalti yang disempurnakan pemain import, Bruno Martelotto pada minit ke-8 akibat kekasaran yang dilakukan pertahanan Pahang, Mohd Saifulnizam Miswan.

Saifulnizam Miswan menebus kesilapan awalnya apabila menanduk masuk jaringan penyamaan Pahang pada minit ke-14 tapi cuma bertahan empat minit apabila penyerang import sensasi ATM, Marlon Alex James memastikan ATM kembali mendahului perlawanan.

Pahang kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd Azamuddin Akil pada minit ke-29. Walaubagaimanapun, aksi kembali perlahan dengan keputusan terikat 2-2 sehinggalah Pahang kehilangan pertahanannya yang juga penjaring gol pertama, Saifulnizam Miswan akibat dibuang padang setelah mengumpul dua kad kuning.

Memanfaatkan lawan yang tampak hilang rentak akibat kehilangan seorang pemain, ATM akhirnya memperoleh gol kemenangan pada minit ke-83 menerusi gol pemain gantian mereka, Christie Jayaselan.

Dengan kemenangan ini, ATM berjaya mengutip mata penuh dan terus melonjak ke puncak liga, satu mata mengatasi PDRM yang memungut 11 mata dari lima perlawanan.