Connect with:




Rekod tanpa kalah Ole Gunnar Solskjaer dalam perlawanan liga sejak mengambil alih daripada Jose Mourinho telah ditamatkan oleh anak buah Unai Emery dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Emirates awal pagi tadi.

Jaringan Ghanit Xhaka dan penalti Pierre Emerick Aubameyang menyaksikan The Gunners berada di kelompok empat teratas liga mengatasi Manchester United.

Arsenal juga hanya satu mata di belakang pasukan ketiga liga, Tottenham Hotspur dan kini memiliki kelebihan bagi pemburuan slot ke Liga Juara-Juara.

Ole berkata: “Anda perlu kecewa dengan keputusan ini, namun persembahan yang ditunjukkan oleh semua pemain adalah bagus.

“Setiap perlawanan, gol pertama akan menunjukkan bagaimana perlawanan akan berlangsung seterusnya. Kami mencipta banyak peluang. Dua kali terkena palang. Bernd Leno juga beraksi baik di gawang Arsenal menyebabkan kami sukar mencari ruang menghasilkan gol”, tambah Ole.

Arsenal kini mempunyai kelebihan untuk mengekalkan kedudukan di kelompok empat teratas kerana tidak akan bertemu enam kelompok teratas liga berbaki lapan perlawanan berbeza dengan Manchester United yang masih mempunyai perlawanan dengan Manchester City dan Chelsea dalam minggu-minggu selepas ini selain berdepan Liga Juara-Juara dan Piala FA.

Pada minggu lalu, kunjungan kedua-dua pasukan ke Perancis menghasilkan keputusan yang berbeza ketika United berjaya melakar kejutan ke atas Paris Saint Germain 3-1 untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara berdasarkan jaringan di tempat lawan selepas terikat 3-3.

Sebaliknya, Gunners tewas 3-1 kepada Rennes menyebabkan mereka perlu bekerja keras di Emirates untuk layak ke suku akhir Liga Europa.

Foto : Sportskeeda