Connect with:




Jika muncul juara keseluruhan Formula Satu (F1) kali kelima di Austin hujung minggu ini, pelumba Britain, Lewis Hamilton akan semakin menghampiri rekod sepanjang zaman milik Micheal Schumacher namun pelumba Mercedes itu menegaskan bahawa itu bukanlah misi utama buat dirinya.

Hamilton dilihat mampu menyamai pencapaian hebat Schumacher yang merekodkan tujuh kali gelaran juara jika dia berjaya mengatasi cabaran pesaing terdekat dari pasukan Ferrari, Sebastian Vettel dengan kelebihan lapan mata di Austin, Ahad ini.

Bagaimanapun, Hamilton yang sedar akan cita-citanya pada 2015 setelah berjaya menyamai rekod idolanya dari zaman kanak-kanak, Ayrton Senna, pelumba Brazil yang meraih gelaran juara sebanyak tiga kali mengakui mengejar atau menyamai rekod bukanlah matlamat buat dirinya.

“Jujur saya katakan itu sama sekali bukan matlamat saya (mengejar rekod Schumacher). Saya cuma mahu mengatasi atau standing dengan idola saya, Ayrton Senna dan saya telah berjaya melaksanakannya dua tahun lalu.

“Saya akan berada disini untuk beberapa waktu lagi jadi saya akan terus berkerja keras serta berusaha  dan menikmati setiap perlumbaan. Mengenai rekod Micheal, ianya sesuatu yang luar biasa sepanjang kariernya dan saya masih jauh lagi untuk ke tahap itu,” jelas Hamilton kepada Reuters.

Berbaki tiga perlumbaan dengan mengumpul 67 mata mengatasi Vettel dan 75 mata maksimum boleh diraih selepas perlumbaan di Texas, Hamilton dilihat semakin sukar digugat pelumba lain.

Hamilton turut menegaskan bahawa beliau tidak akan melakukan sebarang perubahan strategi menjelang perlumbaan hujung minggu ini dan sebaliknya akan terus beraksi sebagaimana perlumbaan-perlumbaan yang lepas.

“Semua pendekatan dan strategi yang saya dan pasukan gunakan setakat ini dilihat mendatangkan hasil positif jadi tiada perubahan di Austin nanti.

“Kami memang mahu menang hujung minggu ini, jadi tiada perubahan akan dilakukan dan sekarang saya merasakan lebih tenang dan tahu apa yang harus dilakukan,” ujar Hamilton lagi

 

Foto : Mercedes-AMG Petronas Motorsport

Sumber : Reuters