Connect with:




Perenang Johor, Tia’a Faang Der berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 400 meter (m) rampaian individu lelaki di Pusat Akuatik Tuanku Zara selepas tujuh hari Sukan Malaysia (Sukma) 2018 membuka tirainya.

Tampil dengan kelas tersendiri, Faang Der, mencatatkan masa 4 minit 30.48 saat (s) sekaligus memadam rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang perenang Wilayah Persekutuan, Sebastian Soon pada Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN Julai lepas dengan catatan 4:30.85s.

Menurut laporan Kosmo! kejayaan itu juga menyaksikan perenang berusia 20 tahun itu meleburkan rekod kejohanan berusia 16 tahun milik Die Uang Manggan dari Sarawak yang melakukannya pada Sukma 2002 (Sabah).

“Sungguh tidak diduga saya akan pecahkan rekod kebangsaan kerana sasaran awal adalah sekadar pecahkan rekod peribadi saya iaitu 4:42.49s.

“Pada temasya kali ini, ada lagi satu acara yang saya sasarkan untuk emas iaitu 200m kuak kupu-kupu lelaki,” katanya kepada pemberita.

Pingat perak bagi acara tersebut menjadi milik Sebastian dengan catatan masa 4:30.79s sementara perenang Terengganu, Arvin Shaun Chalal Singh meraih pingat gangsa (4:33.01s).

Kem Selangor dilihat paling mendominasi sebaik saja acara renang membuka tirai apabila berjaya membolot empat emas daripada lapan acara dipertandingkan.

Pingat emas kontinjen Selangor diraih menerusi Asmalia Filzati Redzuan untuk acara 100m gaya bebas wanita,  Ng Jing Fu (100m kuak dada lelaki), Jordan Yip Zhu Ern (50m kuak lentang lelaki) serta Nadia Adrianna Redza Goh (400m rampaian individu wanita).