Acara pertama Bulan Pelayaran Terengganu dilangsungkan hari ini apabila Regata Monsun KFC 2012 bermula dengan acara Marathon Cabaran Pulau Duyong yang menyaksikan para pelayar dari kelas Laser Dinghy, Optomist dan Luncur Angin menguji kemampuan mereka di muara Sungai Terengganu.

Perlumbaan menyaksikan para pelayar berlumba dari garisan permulaan di Pulau Warisan ke arah Taman Tamaddun Islam di mana mereka berpusing dan kembali semula ke arah garisan penamat di Pulau Warisan. Dengan cuaca panas dan angin yang tetap membolehkan para pelayar mempamerkan keupayaan mereka dalam mencari posisi terbaik dalam perlumbaan.

Dalam Kelas Laser Dinghy, pelayar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Ku Anas Ku Zamil bersama krewnya Mohd Hafizzudin Mazelan berjaya menduduki tempat pertama diikuti oleh Muhammad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz, kedua-duanya juga dari MYA.

Sepasang lagi pelayar MYA, Nuraishah Jamil dan Nur Vela Sari Bajuri menduduki tempat ketiga. Kesemua pelayar di atas bertanding menggunakan bot International 420.

Dalam Kelas Optimist, pelayar MYA Muhd Dhiauddin Rozaini muncul sebagai pemenang diikuti oleh Nur Shazrin Mohd Latif yang mewakili Majlis Sukan Negeri Pahang. Seorang lagi pelayar MYA, Natasha Nabila Sawal menduduki tempat ketiga.

Peluncur MYA, Mohd Danial Fauzi pula mengungguli kelas Luncur Layar selepas mengenepikan cabaran peluncur dari Persatuan Perahu Layar Negeri Perak, Muhammad Husaini Mohd Rodzi. Peluncur dari Kelab Renang Pulau Pinang (PSC), Ivie H Low menduduki tempat ketiga.

Regata yang ditaja oleh T-Best Events Sdn Bhd ini dan dianjurkan oleh Persatuan Pelayaran Terengganu akan dirasmikan esok dan akan berlangsung sehingga hari Ahad.