Connect with:




Red Army Malaysia (RAM) – Kelab penyokong rasmi Manchester United di Malaysia telah mengadakan malam gala mengutip dana di Hotel Palace Of Golden Horses di The Mines pada Sabtu bagi membantu menjalankan program untuk kanak-kanak di Asia Tenggara.

Program kebajikan tersebut adalah dibawah penyelarasan Yayasan Manchester United menjadikan ia usaha pertama dari sebuah kelab penyokong di Malaysia bersama-sama wakil rasmi dari kelab England itu dalam menjalankan aktiviti kemanusiaan.

“Apa gunanya sebagai sebuah kelab penyokong tanpa kita memberikan sesuatu kepada komuniti? Maka Red Army Malaysia mengambil inisiatif membantu Yayasan Manchester United untuk mengumpulkan dana bagi menjayakan program kebajikan yang telah diatur” kata Dato’ Rosthman Ibrahim, Presiden RAM.

Malam gala yang mendapat tajaan dari syarikat perusaharaan e-sport terkenal, TODAK turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku SYed Faizuddin Putra serta kehadiran bekas pertahanan United, Wes Brown.

Selain kutipan dana menerusi sumbangan dari para ahli, acara tersebut turut sama melakukan lelongan beberapa koleksi istimewa barangan yang telah ditandatangani pemain Manchester United untuk turut sama disumbangkan terhadap program kebajikan.

Acara malam tersebut juga menyaksikan 10 ahli RED yang bertuah dipilih untuk diterbangkan ke Old Trafford selama 4 hari 3 malam menerusi cabutan bertuah.