Connect with:




Kesedihan terpancar di muka Julen Lopetegui selepas beliau dipecat sebagai pengurus Real Madrid yang hanya bertugas selama 139 hari bertugas di Bernabeu.

Hal ini berpunca selepas kelab gergasi Sepanyol itu menghadapi lima kekalahan dalam tujuh perlawanan dan yang paling terbaharu mereka diratah 5-1 oleh seteru utama, Barcelona.

Sementara itu, khidmat Lopetegui yang dilantik pada Jun lalu disandang sementara kepada jurulatih pasukan B Real, Santiago Solari.

Keputusan berkenaan diumumkan sejurus mesyuarat lembaga pengarah kelab, awal pagi tadi.

Dalam satu kenyataan, kelab berkenaan memberitahu keputusan itu dilakukan kerana rekod buruk yang dialami Los Blancos setakat ini.

“Nasib pasukan perlu diubah dan atas rasa tanggungjawab keputusan itu harus dilakukan.

“Kualiti yang ada dalam pasukan tidak perlu disangkal kerana seramai lapan pemain kita berada dalam pencalonan anugerah Ballon d’Or. Jadi, lembaga pengarah sememangnya tahu terdapat konflik daripada segi barisan kejurulatihan Real.

Untuk rekod, ini kali kedua Lopetegui dipecat pada tahun ini setelah beliau disingkirkan dari Sepanyol dua hari sebelum bermulanya Piala Dunia.

Difahamkan, bekas pengendali Chelsea, Antonio Conte menjadi calon utama sebagai pengganti tetap Lopetegui, walaupun masih dalam perbincangan.

Foto: AFP