Connect with:




Cristiano Ronaldo merasakan dirinya ditipu oleh Real Madrid dan berhasrat menyertai semula Manchester United, menurut beberapa laporan media di Sepanyol, hari ini.

AS melaporkan bintang Portugal itu mendakwa presiden Real Florentino Perez tidak menepati janji mengenai masa depan jangka panjangnya di Santiago Bernabeu dan dia sudah hilang sabar.

Laporan menyebut Ronaldo sudah memberitahu beberapa rakan sepasukannya mahu kembali ke Old Trafford menyaksikan dia pernah beraksi cemerlang antara 2003 dan 2009.

Selepas menjaringkan dua gol ketika Real menjulang Piala Liga Juara Juara (UCL) 4-1 menewaskan Juventus pada final Mei lalu, Perez berjanji untuk meningkatkan nilai kontrak mewah Ronaldo.

Sejak itu, tiada sebarang tindakan diambil malah Ronaldo menegaskan mahu kekal di Madrid tetapi dalam diam meluahkan hasrat mahu kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain berusia 32 tahun itu bergelut dengan prestasi semakin merudum dan hanya menjaringkan empat gol dalam La Liga dan sembilan gol dalam enam perlawanan UCL.

Ronaldo turut memenangi Anugerah Ballon d’Or selaku pemain terbaik dunia dengan kejayaan juara La Liga dan UCL tahun lalu.

Bersama United sebelum ini, Ronaldo meraih tiga gelaran EPL, Piala FA, dua Piala Liga dan Liga Juara Juara dengan sejumlah 118 gol dalam 292 perlawanan sebelum berhijrah ke Sepanyol dengan rekod dunia sebanyak £80 juta pound (RM436 juta).

Pencapaiannya di Sepanyol mencipta fenomena apabila menyumbat 422 gol dalam 418 perlawanan untuk Real.

Sumber: Daily Mail

Foto Kredit: World of Buzz