Connect with:




Real Madrid membuktikan bahawa mereka serius dalam perebutan trofi Liga Juara-Juara kali ini apabila mudah menjinakkan kelab gergasi Itali, Juventus 3-0 di Turin.

Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi mimpi ngeri buat Juventus apabila meledak dua gol dan membuat satu umpanan kepada Marcelo untuk memberikan bekalan selesa pada aksi suku akhir pertama.

Pada perlawanan awal pagi tadi, Real hanya memerlukan tiga minit selepas sepak mula apabila Ronaldo membuka tirai jaringan sebelum menambah gol kedua sejam kemudian dengan sepakan gunting, menjadikannya mengumpul 14 gol kesuluruhan dalam saingan tertinggi Eropah itu musim ini.

Malang menimpa buat Juventus apabila penyerang utama mereka, Paulo Dybala dibuang padang pada minit ke-66 sebelum Ronaldo melakukan hantaran kepada Marcelo untuk gol ketiga yang memberikan bekalan selesa buat Real menjelang aksi kedua di Madrid 11 April ini.

“Dia adalah pemain paling cantik dalam sejarah bola sepak,” kata pengendali Real Madrid Zinedine Zidane.

“Ia bukan mudah untuk mendapatkan tiga gol menentang Juve apatah lagi beraksi di laman mereka. Anda perlu bekerjasama untuk mendapatkan keputusan sebegini.”

“Sudah tentu mereka tidak gembira dengan keputusan ini, tetapi Juve tetap di hati saya.”

Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri mengakui kekalahan berkenaan sukar diterima selepas turut ditewaskan oleh lawan yang sama pada final di Cardiff tahun lalu.

“Keputusan 3-0 ini memang sukar diterima.”

“Pada pendapat saya, kami menunjukkan peningkatan ketara. Kami berdepan pasukan yang mempunyai pemain terbaik di dunia.”

Ronaldo kini meledak 23 gol dalam semua pertandingan untuk Madrid tahun ini dan menerima tepukan hormat daripada penyokong selepas tamat permainan.

Sumber : Harian Metro

Foto Kredit : gilabola(dot)com