Baru-baru ini bekas penjaga gol England, David James hadir ke Kuala Lumpur bersempena dengan tugasannya sebagai pundit bersama Astro Supersport.

Dikesempatan itu, Dunia Sukan diberi peluang untuk menemubual beliau di Restoran Pastamania, Sunway Velocity, Cheras.

Banyak soalan yang ditanya kepada James baik dari segi karier, fesyen, gaya rambut dan bermacam-macam lagi.

Namun kami ingin berkongsi satu perkara pada pertemuan tersebut. Kami menunjukkan video kesilapan penjaga gol bawah 23 negara, Haziq Nadzli pada perlawanan akhir Sukan SEA yang lepas.

Reaksi pertama beliau selepas menonton video tersebut ialah; “Oh, bola tertampan ke dalam. Saya juga pernah melakukan perkara yang sama”.

Malah James mengakui, beliau pernah melakukan kesilapan tersebut lebih dari sekali.

“Bagi saya, ini semua adalah sebahagian dari kehidupan sebagai penjaga gol. Tidak ada penjaga gol yang tidak pernah melakukan kesilapan. Gianlugi Buffon, Iker Casillas, David De Gea – semua penjaga gol hebat tetapi mereka juga tidak terlepas dari membuat kesalahan.

“Nasihat saya, tak perlu fikirkan kesilapan tersebut. Fokus kepada perlawanan seterusnya. Apa yang berlaku, tak perlu dikenangkan” itu nasihat James kepada Haziq dan semua penjaga gol di Malaysia.

Lebih banyak yang dikongsikan James kepada kami di majalah Dunia Sukan edisi Oktober 2017 yang akan memasuki pasaran bermula minggu hadapan.