Skuad lompat galah tanah air masih dilanda kemarau emas sejak persaraan Roslinda Samsu pada tahun 2013.

Namun kelibat atlet lompat galah No.1 wanita negara, Chuah Yu Tian dalam saingan Sukan SEA dapat mencetuskan harapan baru kepada kontinjen Malaysia.

Yu Tian berjaya meraih pingat perak ketika penampilan sulungnya pada kejohanan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Ratu lompat galah negara, Roslinda, merupakan penyumbang tetap pingat buat Malaysia sejak Manila, Filipina (2005), Korat, Thailand (2007), Vientiane, Laos (2009) dan Palembang, Indonesia (2011).

Selain itu, Roslinda masih memegang rekod kebangsaan selepas mencatat 4.40m di Sepanyol pada tahun 2006.

Yu Tian sasar untuk mencapai ketinggian 4.00m, mengalahkan rekod peribadinya iaitu 3.80m.

Seterusnya, Yu Tian akan bersaing dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia pada bulan April dan Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada bulan Ogos.

Walaupun jurang antaranya dengan Roslinda sangat besar namun Yu Tian bersifat optimis bahawa dia mampu mempamerkan prestasi yang cemerlang.

 

Foto Kredit: Facebook (YuTian Chuah)