Connect with:




Peminat Liverpool Football Club (LFC) di Malaysia berpeluang untuk berada di ‘Anfield’, setelah Kuala Lumpur disahkan sebagai antara destinasi jelajah khas LFC World pada 20 dan 21 April ini.

Memasuki musim ketiga, LFC World yang dibawakan oleh Standard Chartered sudah menjelajah ke sembilan lokasi seluruh dunia, membawakan pengalaman sebenar LFC kepada ribuan penyokong The Reds.

Menurut Standard Chartered dalam satu kenyataan hari ini, pengalaman dua hari itu akan membolehkan peminat menyaksikan LFC World Hub di One Utama Centre Court.

Dalam hab berkenaan, peminat akan dapat merasai sendiri pengalaman ‘berada’ di Anfield dengan replika Shankly Gates, pintu masuk bersejarah yang menjadi ikon stadium Anfield dan papan tanda ‘This Is Anfiled’.

Selain pelbagai aktiviti yang menyeronokkan untuk peminat mengambil bahagian sepanjang acara berlangsung dan hadiah istimewa serta cenderahati, peminat juga dapat bertemu wira LFC iaitu Jason McAteer, Sami Hyppia dan Steve McManaman.

“Terdapat juga bilik persalinan khas LFC World di mana peminat boleh duduk di bawah baju pemain LFC kegemaran mereka iaitu Mohamed Salah, Sadio Mane, Virgil Van Dijk dan Roberto Firmino bagi mecipta imej bilik persalinan ikonik mereka sendiri,” menurut kenyataan itu.

“Liverpool FC adalah antara kelab bola sepak terkenal di dunia dengan peminat yang ramai di pasaran utama kami termasuk Malaysia, dan kami berbangga dapat dikaitkan dengan mereka.

“Kami amat teruja untuk memperluaskan faedah eksklusif, termasuk akses ke Liverpool FC Legends, barangan dan juga tiket ke Anfield kepada komuniti, kepada pelanggan dan peminat LFC,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia  Abrar A. Anwar dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Hyppia berkata: “Bagi Reds di Malaysia, LFC World Kuala Lumpur merupakan tempat yang perlu dikunjungi. Kami tahu tidak semua peminat boleh ke Anfield, jadi inilah cara kami untuk membawa Anfield lebih dekat dengan mereka. Kami tidak sabar untuk berjumpa semua, ia akan menjadi hujung minggu yang hebat”.

Penyokong Reds juga berpeluang mengalami suasana Anfield kerana akan diadakan aktiviti pentas secara langsung dengan lagenda LFC sebelum perlawanan secara langsung menentang Cardiff City pada 21 April.

Maklumat lanjut mengenai LFC World boleh didapati di  https://www.liverpoolfc.com/lfcworld/Kualalumpur