Connect with:




Claudio Ranieri meraih kemenangan pertama sebagai jurulatih AS Roma selepas mencatat keputusan 2-1 menewaskan Empoli sekaligus memastikan perebutan tempat di Liga Juara-Juara musim depan masih terbuka.

Roma yang tersingkir daripada saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara pada minggu lepas semasa kendalian bekas jurulatihnya yang dipecat, Eusebio Di Francesco kembali mempamerkan aksi bertenanga biarpun ketiadaan beberapa tonggak yang disisihkan akibat kecederaan dan digantung perlawanan.

Jaringan Stephan El Shaarawy dan Patrick Schick pada babak pertama perlawanan sudah cukup memastikan tiga mata penting untuk Roma walaupun sepuluh minit sebelum tamat perlawanan, Alessandro Florenzi dilayangkan kad kuning kedua.

Ranieri kembali ke Roma, kelab yang dibimbingnya selama 18 bulan sehingga Februari 2011. Kepulangan bekas pemain dan pengendali Roma yang berumur 67 tahun itu ke Stadio Olimpicio dialu-alukan dengan sepanduk “Semoga berjaya Tuan Ranieri”.

“Saya rasa peminat banyak membantu kami malam ini. Saya tak jangka kami akan bermain dengan bagus kerana pasukan ini masih tegang dengan kebimbangan dan masih belum melupakan beberapa perkara yang berlaku kebelakangan ini.

“Menyatukan pasukan semula apabila kami tidak mempunyai ramai pemain dan tanpa pemain ternama, ketua pasukan yang boleh membawa pasukan ke satu arah, bukanlah mudah”, kata bekas jurulatih Leicester dan Chelsea itu.

Kostas Manolas, Lorenzo Pellegrini dan Cengiz Under kesemuanya terpaksa dipinggirkan berikutan kecederaan begitu juga Kapten Daniele De Rossi. Sementara itu, Edin Dzeko, Aleksandar Kolarov dan Federico Fazio pula menjalani penggantungan.

Roma kini kekal di kedudukan kelima, tiga mata di belakang Inter Milan yang berada di tempat keempat dan empat mata di belakang AC Milan yang berada di tempat ketiga.

FOTO : Sportskeeda