Connect with:




Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) tampil membidas Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) selepas PFA mengumumkan isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu dianggap sudah selesai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail menjelaskan pihaknya masih belum menerima sebarang status terkini yang harus dikemukakan PFA berhubung tunggakan gaji pemain tahun 2016 dan 2017.

“Selagi bayaran akhir belum dibuat, isu tunggakan gaji ini tidak boleh dianggap telah selesai.

“Justeru, PFAM menggesa agar PFA benar-benar serius dalam isu hutang ini disebalik keghairahan menandatangani nama-nama besar bagi saingan musim hadapan.

“Tidak mustahil, jika PFA terus menerus mengabaikan tanggungjawab ini, pemain-pemain baharu akan menjadi mangsa seterusnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Izham turut mengingatkan kepada pasukan-pasukan yang masih mempunyai tunggakan gaji, untuk mengambil serius soal pembayaran hutang kepada para pemain.

Malahan, dia turut mengharapkan kredibiliti pihak FAM untuk segera mengeluarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib, yang difahamkan, telah bermesyuarat pada 6 Disember 2018 lepas.

“Kami lihat banyak pasukan yang masih berhutang tidak ada inisiatif untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain, namun ironinya sangat rancak dalam menandatangani pemain-pemain baru termasuklah pemain import bagi saingan musim hadapan.

“Pihak FAM juga perlu segera mengeluarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib kerana kelewatan keputusan ini, akan memberi kesan besar kepada para pemain, apabila pasukan terus ‘terlepas’ dari dikenakan hukuman sebelum saingan musim baharu bermula,” tegasnya.