Ramzul muncul wira Selangor

Ramzul muncul wira Selangor

 

Pemain gantian, Ramzul Zahini meleburkan rekod tanpa kalah Pahang selepas golnya 10 minit terakhir memberi kemenangan 3-2 Selangor keatas pahang di Stadium Shah Alam.

Selangor tidak memerlukan masa yang lama untuk membuka jaringan selepas Amri Yahya menyempurnakan hantaran pendek Solihin Kanasian pada minit kedua permainan untuk menceriakan hampir 25,000 penyokong tuan rumah.

Tidak terhenti setakat itu, Skuad Merah Kuning terus mengasak kubu lawan dan hasilnya, menerusi gerakan cantik yang diusahakan Amri, Forkey Doe dan Raimi Mad Nor, gawang Pahang bolos buat kali kedua sekali lagi menerusi Amri Yahya.

Amri jaring 2 gol.

Amri jaring 2 gol.

 

Seakan-akan selesa dengan kedudukan 2-0 ini, barisan anak didik Irfan Bakti ini mula memperlahankan tempo permainan. Situasi ini memberi peluang untuk Pahang melakukan serangan bertali arus dan usaha ini akhirnya membuahkan hasil selepas penyerang sensasi, Fauzi Roslan menanduk masuk gol pertama Pahang 4 minit kemudian yang juga gol keempat peribadinya musim ini.

Pahang kemudiannya hampir menyamakan kedudukan menerusi R.Gopinathan namun tandukannya sedikit tersasar dari gawang Selangor yang dikawal Sharbinee Alawee. Kesilapan pertahanan Selangor, Fairuz Abdul Aziz yang menjatuhkan R.Surendran didalam kotak penalti pada minit ke-42 akhirnya memberi peluang buat Tok Gajah mencetak gol kedua. Bekas pertahanan Selangor, Razman Roslan tenang menyempurnakan penalti tersebut untuk mengikat kedudukan 2-2.

Kontroversi tercetus di penghujung babak pertama selepas Amri dilihat melakukan isyarat kurang menyenangkan kepada penjaga garisan, Nojey Naking akibat keputusan Nojey yang tidak memberikan lontaran kepada Selangor. Walaubagaimanapun tiada sebarang kad dilayangkan kepada Amri.

Bersambung babak kedua, Selangor dan Pahang saling berbalas asakan namun kedua-dua pasukan ini masih buntu untuk menambah gol.

Akhirnya pada minit ke-80, Ramzul yang masuk menggantikan Raimi Mad Nor membuktikan kebolehan sebenarnya dengan menjaringkan gol kemenangan buat pasukan Merah kuning itu. Berpunca dari hantaran cantik Shukor Jusoh, Ramzul berjaya melepasi pertahanan lawan dan seterusnya menanduk masuk bola tersebut untuk menewaskan Nasril Nordin.

Biarpun rekod tanpa kalah pasukannya kini sudah tercalar, pengendali pahang, Dollah Salleh tetap berbangga dengan aksi yang ditampilkan anak buahnya.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan mereka. Pemain telah memberikan 100% usaha mereka. Cuma sedikit kelekaan dihujung perlawanan memberikan lawan 3 mata penuh” kata Dollah.

Rakan sejawatnya dari Selangor, Irfan Bakti juga turut memuji persembahan Pahang.

“Mereka bangkit dari ketinggalan 0-2 untuk menyamakan kedudukan. Mereka memberi kesukaran buat pasukan kami.

“Sewaktu rehat, saya gesa para pemain untuk bangkit semula dan alhamdulillah, mereka berjaya membuktikannya” kata Irfan.

Berbicara mengenai Forkey Doe yang masih belum nampak ‘tajam’ didepan gol, Irfan berkata itu bukanlah satu masalah besar bagi dirinya.

“Harus diingat, Forkey Doe sentiasa menjadi tumpuan dan dikawal rapat pertahanan lawan. Namun situasi ini menguntungkan kita kerana ramai pemain-pemain lain boleh menjaringkan gol dan malam ini kita dapat lihat hasilnya menerusi Ramzul” tambahnya lagi.

Kekalahan Pahang ini bagaimanapun tidak menggugat kedudukan mereka di puncak liga sementara Selangor berada di tangga kedua berkongsi mata dengan Pahang dan cuma dibezakan menerusi jumlah jaringan gol.

Dalam pada itu, 2 lagi perlawanan Liga Super yang dilangsungkan menyaksikan LionsXII menumpaskan Terengganu 2-1 di Jalan Besar selepas gol Safuwan dan Syafik Ghani membenam jaringan Effa Owona. Sementara itu Negeri Sembilan terus dirundung malang selepas tewas 0-1 kepada Perak hasil jaringan minit akhir Failee Ghazali.