Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal tidak risau

 

Pengendali skuad kebangsaan, Datuk K.Rajagopal tenang menjelang pertemuan persahabatan dengan Vietnam walaupon beberapa tonggak pasukan mengalami kecederaan. S.Subramaniam, Khyril Muhymeen dan Shakir Ali adalah antara beberapa nama yang mengalami kecederaan namun bagi Rajagopal, perkara ini tidak menjadi masalah besar memandangkan kesemuanya hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kita tahu kebanyakan pemain ketika ini terlibat dengan jadual Piala Malaysia yang agak padat namun saya rasa pemain-pemain saya sudah bersedia sepenuhnya menentang Vietnam nanti” ujar Rajagopal.

Jelasnya lagi, aspek serangan diberi penekanan yang penting kali ini. Justeru itu, beliau memanggil pemain Kedah, Badrol Bakhtiar untuk menyertai latihan bagi memantapkan lagi pasukan.

Rajagobal tekankan aspek serangan ketika menentang Vietnam dengan memanggil Baddrol Bakhtiar

 

Selepas menjulang Piala AFF 2010, hampir 80 pemain telah dipanggil dan Rajagopal kini telah pun mempunyai bayangan senarai 35 pemain akhir yang akan dikeluarkan bulan depan. Namun, beliau masih tidak menolak kemungkinan memberi peluang kepada pemain-pemain baru untuk baki 4 perlawanan persahabatan nanti.

Dengan Piala AFF November nanti menjadi keutamaan kepada Rajagopal, perlawanan kali ini penting untuk mempersiapkan pemain-pemainnya serta mengekalkan momentum pasukan.

Sementara itu, Vietnam juga telah bersedia untuk menentang skuad Harimau Malaya dengan membawa barisan utama dengan kebanyakan daripadanya masih berusia muda termasuk 6 pemain baru. Hanya seorang sahaja pemain utama tidak dibawa untuk perlawanan kali ini akibat kecederaan iaitu pertahanan berpengalaman; Nguyen Ahn Tuanh.

Ketua jurulatih Vietnam, Phan Than Hung yang baru sahaja memulakan tugasnya bulan lepas menggantikan Falko Gotz yang dipecat berkata, dia mahu pemainnya mempelajari sesuatu dari Malaysia selaku kuasa bolasepak Asia Tenggara buat masa ini. Tambahnya lagi, perlawanan persahabatan ini merupakan salah satu persedian pasukannya menjelang Piala AFF 2012 pada November dengan kemungkinan besar ianya menjadi bayangan pertemuan separuh akhir piala berprestij Asia Tenggara ini nanti.

Perlawanan Malaysia bertemu Vietnam ini akan berlangsung di Stadium Shah Alam bermula jam 8.45 malam pada Selasa (esok) ini.