Melihat peluang skuad bawah 22 tahun (B22) negara untuk layak ke Sukan Olimpik London 2012 sudah tertutup dan misi skuad itu kini hanyalah untuk mencari mata, ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal telah menyerap kembali beberapa pemain skuad tersebut ke dalam skuad kebangsaan yang bakal berdepan Filipina, 29 Februari depan.

Mereka diketepikan selepas perlawanan menentang Australia, Oktober tahun lalu, untuk membolehkan mereka memberi fokus kepada kelayakan Sukan Olimpik dan Sukan SEA Indonesia, malah turut tersisih dari skuad yang berkunjung ke India, November lalu untuk dua siri perlawanan yang menyaksikan skuad kebangsaan seri 1-1 dan tewas 2-3 kepada India.

Antara pemain yang dipanggil semula itu adalah kapten skuad Olimpik, Khairul Fahmi Che Mat bersama-sama Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Shas, Mohd Zubir Azmi dan K. Gurusamy. Peluang turut diberikan pada penyerang skuad Olimpik dari Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Ali serta pemain sayap skuad Olimpik, Wan Zack Haikal Wan Nor.

Penjaga gol Selangor, Norazlan Razali tersenarai semula dalam pemilihan kali ini selepas Rajagobal memilih untuk mengenepikan seorang lagi penjaga gol Selangor, G. Jeevanathan dan juga Sharbinee Allawee dari Terengganu. Selain Khairul Fahmi dan Norazlan, turut tersenarai adalah Farizal Marlias dari Negeri Sembilan.

Pertahanan kental Kelantan, S. Subramaniam dipanggil menyertai latihan pusat setelah mempamerkan aksi baik bersama pasukannya sepanjang aksi awal musim ini. Selain itu, Mohd Aidil Zafuan yang kini bersama Angkatan Tentera Malaysia, Mohd Faizal Muhammad dari Terengganu dan Mohd Asraruddin Putra (Selangor) turut dipanggil menyertai kem kebangsaan.

Di posisi tengah menyaksikan kehadiran muka baru dari Sabah, Sharudin Yakub selain kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim, Amar Rohidan, Baddrol Bakhtiar dan S. Kunanlan. G. Mahathevan (Negeri Sembilan), Bunyamin Omar (Selangor), Shakir Shaari (Kelantan) dan pemain sayap Terengganu, Ashaari Shamsuddin melengkapkan senarai pelatih posisi tengah.

Kehadiran Norshahrul Idlan Talaha semula pastinya dinantikan setelah tiada dalam skuad yang berkunjung ke India sebelum ini. Penyerang Pelita Jaya FC, Safee Sali bersama Abdul Manaf Mamat dari Terengganu dan Mohd Zaquan Adha (ATM) melengkapkan senarai penyerang dan 27 pemain yang terpilih menyertai latihan pusat kali ini.

21 pemain yang terpilih ini dikehendaki melaporkan diri Ahad ini, manakala baki enam lagi pemain dari skuad Olimpik pula perlu hadir pada 23 Februari. Skuad ini akan menjalani latihan di Wisma FAM sehingga 22 Februari sebelum berangkat ke Kota Kinabalu untuk perlawanan persahabatan dengan skuad Liga Super Sabah dua hari kemudian, dan seterusnya menentang Filipina pada penghujung Februari nanti di Rizal Memorial Stadium.