Malaysia bakal berdepan 3 negara Arab

 

Pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal kekal positif dengan undian kelayakan Piala Asia 2015 sambil menggesa pemainnya agar bersedia dan yakin dengan kemampuan sendiri.

Mengakui saingan kumpulan D ini agak seimbang, beliau bagaimanapun tetap berpendapat bahawa Qatar dan Bahrain akan menjadi pasukan pilihan. Namun Rajagobal tetap optimis dan tekad untuk mencipta sejarah membawa Harimau Malaya ke Australia nanti.

“Lawan kita nanti memang pasukan yang kuat tapi saya sudah memberitahu pemain agar kita ubah mentaliti. Selama ini kita sekadar pelengkap kelayakan. Kali ini kita sudah ada misi dan visi iaitu layak ke pusingan akhir” jelas Rajagobal yang kini dalam persiapan untuk menghadapi Hong Kong dalam aksi persahabatan antarabangsa.

“Walau siapa pun lawan yang dihadapi, kita akan berikan aksi terbaik demi maruah negara. Kita perlu buktikan Malaysia bukan lagi sekadar jaguh ASEAN. Namun saya tahu semua ini bukan perkara mudah. Jadi kita perlu bekerja keras untuk merealisasikannya” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Rajagobal tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan pemain skuad Piala AFF dalam menempuh perlawanan pertama menentang Qatar memandangkan jadual perlawanan tidak begitu jauh dengan kempen Piala AFF.

“Kemungkinan saya akan gunakan pemain yang sama. Namun semua ini bergantung juga kepada keadaan pemain. Mungkin ada yang cedera, atau ada yang belum cergas. Kita akan tengok keupayaan pemain nanti” ujar Rajagobal yang enggan mengulas mengenai kenyataannya yang mahu meletak jawatan jika Malaysia gagal ke pusingan akhir Piala Asian 2015 nanti.

Kempen Malaysia pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 ini bermula dengan pertemuan menentang tuan rumah Piala Dunia 2022; Qatar di Doha pada 6 Februari 2013. Kemudian pasukan negara akan menjadi tuan rumah untuk 2 perlawanan seterusnya, Yemen (22 March) dan Bahrain (15 Oktober). Malaysia seterusnya bertandang ke Bahrain pada 15 November sebelum kembali ke Malaysia beraksi menentang Qatar pada 19 November. Aksi terakhir menentang Yemen pula berlangsung pada 5 Mac 2014.

Juara dan naib juara kumpulan layak ke pusingan akhir di Australia sementara cuma 1 pasukan terbaik di tangga ketiga kumpulan akan menyertainya.