Rajagobal Optimis Anak Buah Mampu Benam Singapura

 

Menjelang sepakmula Piala AFF Suzuki 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad, pengendali kebangsaan Datuk K.Rajagobal optimis anak buahnya mampu membenam cabaran Singapura sekaligus membuka langkah kanan dalam kejohanan dwi tahunan ini.

Walaupun tiga aksi persahabatan terakhir Harimau Malaya sebelum ini tidaklah begitu menyakinkan, Rajagobal tetap percaya pasukannya akan memenangi perlawanan pembukaan ini berdasarkan latihan dan kesungguhan yang ditunjukkan pemain.

“Setiap jurulatih ada cara tersendiri dalam mengendalikan pasukan. Kami sudah bersedia dan akan menunggu cabaran dari Singapura nanti,” katanya.

Nada yang sama  juga diungkapkan dari kem Singapura. Penolong jurulatih Mike Wong berkata, “perlawanan dengan Malaysia esok sangat penting kerana bakal menentukan pasukan mana yang mampu menduduki tangga teratas dalam Kumpulan B”.

Selain pertemuan Malaysia-Singapura, Kumpulan B juga akan menyaksikan satu lagi pertemuan melibatkan 2 pasukan lain iaitu Indonesia menentang Laos. Kedua-dua perlawanan akan dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.