Menjelang lima hari sebelum aksi persahabatan antarabangsa menentang Sri Lanka, jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal menyuarakan yang skuadnya perlu turun dengan mentaliti mahu mencari kemenangan.

Skuad kebangsaan kebelakangan ini dikritik hebat akibat gagal memperolehi kemenangan dalam beberapa aksi persahabatan antarabangsa antaranya tewas 0-5 kepada Australia, seri dan tewas 2-3 kepada pasukan India serta terikat 1-1 dengan Filipina.

Kemenangan kompetatif terakhir skuad kebangsaan adalah ketika menewaskan Taiwan 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia, 29 Jun tahun lalu. Daripada tujuh aksi selepas itu, skuad kebangsaan cuma meraih tiga keputusan seri sementara kalah dalam baki empat aksi lagi.

“Kita tidak boleh pandang rendah siapa-siapa pun lawan kita termasuk pasukan Sri Lanka, yang telah memberikan satu aksi kompetatif ketika menentang Filipina dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

“Walaupun saya sudah ada bayangan barisan kesebelasan utama tetapi saya akan lihat dalam dua tiga hari lagi. Kali ini kita kena turun dengan mentaliti mahu mencari kemenangan ke atas Sri Lanka,” jelas Rajagobal yang ditemui ketika program klinik bolasepak anjuran Herbalife di Kota Damansara.

Turut senada dengan jurulatihnya, pertahanan skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Razak menjelaskan yang misi skuad kebangsaan adalah untuk mencari kemenangan disamping memperbaiki ranking.

Walaubagaimanapun, Aidil turut menambah yang tumpuan utama skuad kebangsaan ketika ini adalah untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki di tanahair sendiri penghujung tahun ini.

Menurutnya lagi, semua pemain di kem kebangsaan ketika ini cukup bersemangat dan memberikan komitmen yang baik sepanjang latihan yang dijalankan di Wisma FAM sejak beberapa hari lalu.

Skuad kebangsaan dijangka akan mendapat keseluruhan skuad Khamis ini dengan kehadiran penyerang Pelita Jaya FC, Safee Sali. Turut mendapat pelepasan untuk lewat melapor diri adalah dua pemain Kedah, Amar Rohidan dan Azmizi Azmi yang terlibat dalam aksi Piala FA tempohari.