Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal dilihat enggan mengulas lanjut mengenai isu yang berbangkit mengenai kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini mengenai kemampuan skuadnya mempertahankan Piala AFF Suzuki penghujung November ini.

Kenyataan dikeluarkan akibat prestasi goyah skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan sejak akhir-akhir ini. Walaubagaimanapun, bagi K. Rajagobal, para pemainnya sudah beraksi baik walaupun tidak menghadirkan keputusan yang semua pihak ingini dan sesiapa sahaja berhak untuk meluahkan pendapat masing-masing serta turut menegaskan masih terlalu awal untuk menilainya.

“Saya tak boleh komen apa-apa. Itu terpulang kepada Tan Sri (Annuar Musa). Saya pun tidak tahu kenapa dia membuat kenyataan sedemikian,” ulas pendek K. Rajagobal yang ditemui ketika Majlis Penyampaian Anugerah ‘Outstanding Achivement’ kepadanya di Wisma FAM semalam.

K. Rajagobal telah dipilih oleh Jawatankuasa Eksekutif dari Pertubuhan Pencapaian Malaysia sebagai penerima anugerah terbilang untuk kategori sukan. Jawatankuasa Kerja telah mendapati pencapaiannya satu contoh dimana beliau telah membimbing pasukan bolasepak kebangsaan memperolehi pelbagai pencapaian dan pengiktirafan antarabangsa yang sejajar dengan semangat ‘Malaysia Boleh’.

Anugerah Pencapaian Malaysia (MACA) yang pertama kali diadakan ini bertujuan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada individu dan syarikat Malaysia yang telah menaikkan status Malaysia di peringkat antarabangsa disamping memberikan inspirasi dan menaikkan semangat ‘Malaysia Boleh’ di kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad turut mengumumkan bahawa surat menuntut permohonan maaf dari FIFA berkenaan kenyataan yang dikeluarkan bekas Ketua Pegawai Keselamatannya, Chris Eaton yang mendakwa terdapat pegawai FAM yang terlibat dengan mengatur perlawanan.