Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan peminat sukan kali ini menerusi penganjuran kejohanan kriket Piala Remaja Asia 2017 di Kuala Lumpur. Para pemain yang beraksi kali ini adalah masa depan kriket Asia dimana satu hari nanti, nama mereka akan setanding dengan bintang kriket dunia masa kini seperti Lasith Malinga dan Virat Kohli.

Bercakap mengenai bintang, edisi kali ini turut dihadiri nama-nama besar kriket dunia yang boleh dianggap sebagai lagenda. Lagenda kriket India, Rahul Dravid hadir selaku ketua jurulatih pasukan India. Dravid berkongsi pengalamannya dalam dunia kriket kepada pemain dan pegawai dalam majlis makan malam kejohanan yang diadakan di Hotel Istana pada Selasa.

Dalam perkongsiannya, Dravid menekankan betapa pentignya disiplin dalam membentu karekter pemain kriket.

“Berdisiplin bukan setakat di atas gelanggang. Pemain muda juga harus menjaga disiplin di luar padang.

“Saya lihat pasukan-pasukan remaja Asia memiliki kapten yang bagus dalam kejohanan ini. Ia satu pendedahan yang baik untuk mereka mengembangkan bakat dan karier” kata Dravid.

Sememangnya Dravid menjadi idola terbaik buat para pemain muda dengan karekternya yang tersendiri.

Ketika Nepal mengejutkan pasukannya pada aksi peringkat kumpulan, Dravid masuk ke bilik persalinan Nepal dan mengucapkan tahniah kepada lawannya. Ketua jurulatih Nepal, Binod Kumar Das memberitahu Dravid mengakui kehebatan Nepal yang dilihatnya sebagai antara pasukan paling menyinar dalam edisi kali ini.

Mengenai kegagalan India selaku juara bertahan mara ke separuh akhir, Dravid yang tidak menggunakan beberapa pemain utama dalam kempen kali ini, Dravid berkata, “Dalam peringkat bawah 19 tahun, kemenangan bukan perkara utama sebaliknya yang perlu diberi penekanan adalah pembangunan pemain” katanya yang turut memuji Persatuan Kriket Malaysia (MCA) atas penganjuran kejohanan yang berlangsung lancar.

Selain Dravid, turut berkongsi pentas pada majlis semalam adalah lagenda Sri Lanka, Chaminda Vaas dan bekas pemain Pakistan, Suthan Rana.

Piala Remaja Asia bersambung untuk peringkat separuh akhir dengan aksi pada Khamis menyaksikan pertembungan dua pasukan berjiran – Pakistan menentang Bangladesh sementara dua pasukan yang membuat kejutan iaitu Nepal dan Afghanistan akan bertemu pada Jumaat. Kedua-dua perlawanan akan dimainkan di Kinrara Oval, Puchong.

Perlawanan akhir juga turut akan dilangsungkan di venue yang sama pada Ahad.