Connect with:




Ketika kemampuannya mula diragui, Cristiano Ronaldo memilih detik dan waktu yang tepat untuk membuktikan bahawa dia mampu melangkaui jangkaan kebanyakan orang untuk menarik keluar pasukannya dari rahang kekalahan.

Pada 13 Mac lalu, penyerang berusia 34 tahun itu telah menyahut cabaran dan menjawab semua kritikan dengan cara beliau sahaja yang mampu lakukan kejutan untuk membawa Juventus ke kelompok lapan terbaik Liga Juara-Juara (UCL).

Beliau yang menyertai Juventus dari Real Madrid Julai tahun lalu, membuktikan bahawa pasukannya mampu bangkit selepas ketinggalan 2-0 kepada Atletico Madrid dalam pertempuan pertama di Wanda Metropolitano. Ronaldo memimpin kebangkitan pasukannya dengan mencipta hatrik dalam kemenangan 3-0 di Turin, disudahi dengan aksi menganjing ‘cojones’ kepada pengurus Atletico, Diego Simeone dan semestinya juga kepada pengkritiknya.

Ini juga merupakan kali pertama Juventus berjaya bangkit setelah ketinggalan dua gol di perlawanan pertama.

“Mungkin ini sebabnya Juventus mendapatkan saya untuk membantu kelab ini melakukan sesuatu yang belum pernah mereka lakukan sebelum ini,” kata Ronaldo kepada Sky Italia.

Atletico yang datang ke Turin dengan membawa hajat besar ingin mengirim jalan keluar kepada Juventus daripada saingan UCL. Akhirnya mereka sepatutnya berasa mual dengan rekod Ronaldo yang telah membolosi jaring mereka sebanyak 25 gol dalam 33 pertemuan dengan kelab bimbingan Simeone itu.

Cristiano Ronaldo merai jaringannya bersama rakan pasukan ketika perlawanan menentang Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara.

‘Orang Besar’ Real Madrid sudah pasti menyesal dengan melepaskan kapten Portugal itu meninggalkan Santiago Bernabeu. Ditambah pula kegagalan untuk ke suku akhir UCL selepas tewas keapda Ajax di laman sendiri walaupun mendahului di tempat lawan.

Namun Juventus tidak peduli hal demikian, mereka tidak pernah menjuarai UCL sejak 1996 dan disusuli tewas dalam dua final 2015 dan 2017. Ronaldo yang didatangkan dengan hanya satu matlamat iaitu untuk menjulang trofi UCL.

Perpindahan mega yang dianggarkan bernilai €112 juta (RM518j) yang dibayar kepada Madrid bukan hanya bermatlamat untuk mempertahankan kejuaran liga buat kali kelapan berturut-turut dalam Serie A atau mengaut keuntungan hasil jualan jersi semata-mata dan melonjakkan jenama Juventus di pasaran dunia tetapi trofi UCL menjadi idaman.

Dapat dilihat pada pertemuan dengan Atletico yang dapat disaksikan bagaimana seorang ‘superstar’ bola sepak dunia membuktikan pemain berusia 34 tahun itu belum bersedia untuk meninggalkan segala-galanya tentang bola sepak.

Dalam pada itu, Ronaldo yang juga penjaring terbanyak UCL dengan 124 gol dalam 160 penampilan sebelum ini jelas bergelut dalam saingan musim ini.

Sebelum pertemuan dengan Atletico, beliau hanya meraih satu gol sahaja dalam enam penampilan musim ini dan ia adalah jaringan terendah dalam saingan UCL sejak 2005/06 apabila selepas itu beliau gagal membuat sebarang jaringan.

Namun, ketika Juventus sangat terdesak menagih magisnya, Ronaldo akhirnya memilih untuk menyerlah di pentas besar itu dan tidak mengecewakan dengan membuat satu kejutan mencipta hatrik seterusnya membawa Juventus ke pusingan suku akhir.

Pengurus Napoli, Carlo Anceloti memberi kesimpulan dengan berkata, “Semua orang menjangkakan prestasi Ronaldo bakal merudum tetapi dia seorang yang tidak pernah gagal menyinar di pentas terbesar.

“Terdapat ramai pemain hebat yang bermain dengan bagus dalam perlawanan penting tapi Ronaldo, dia mampu meraikan dirinya sendiri. Itulah bezanya antara pemain-pemain hebat dengan pemain bermentaliti juara sepertinya,” kayanya kepada Sky Sport Italia.

Malah seterunya, Lionel Messi juga menghamburkan kata pujian kepada Ronaldo.

“Terdapat banyak perkara yang saya suka tentang UCL. Ronaldo dan Juventus mengagumkan saya. Saya sangkakan Atletico pasukan yang lebih baik, namun Ronaldo melakukan magis dengan menghasilkan hatrik,” katanya dalam Movistar.

Legenda Argentina, Diego Maradona juga tidak terkecuali turut melontarkan pujian kepada Ronaldo dengan menganggap Ronaldo sebagai ‘raksasa’, iaitu makhluk yang sangat sukar untuk ditewaskan dan dihentikan apabila inginkan sesuatu.

“Ronaldo adalah ‘raksasa’, beliau adalah simbol kuasa sebenar dan kini beliau telah menjadi ahli sihir. Jika beliau berkata ingin menjaringkan tiga gol dan beliau benar-benar akan menjaringkan tiga gol,” ujarnya.

Foto : Juventus