Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (KGV), Seremban akan mengelolakan Kejohanan Ragbi Antarbangsa SUPER KGV 10 Sepasukan edisi ke-12 pada tahun ini.

Kejohanan ini akan berlangsung selama tiga hari iaitu pada 3 hingga 5 November 2017 (8.00 pagi -5.00 petang), bertempat di Georgian Green dan Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban.

Kejohanan ini merupakan satu kejohanan ragbi berprestij peringkat sekolah yang dianjurkan SMK King George V di bawah Program Pembangunan Ragbi Sekolah Kluster Kecemerlangan, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan.

Tahun ini,sekali lagi pihak penganjur telah mendapat pengiktirafan dari Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai salah satu kejohanan bertaraf antarabangsa anjuran Sekolah Kluster Kecemerlangan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Pasukan antarabangsa yang telah mengesahkan kehadiran adalah pasukan- pasukan dari Singapura, Thailand, Sri Lanka, Hong Kong dan Indonesia.

Sebanyak 6 kategori umur dipertandingkan iaitu Kategori Bawah 10 tahun, yang baru diperkenalkan tahun ini, Kategori Bawah 12 tahun, Kategori Bawah 13 tahun, Kategori Bawah 14 tahun, Kategori Bawah 15 tahun dan Kategori Bawah 16 tahun.

Kejohanan ini bakal menampilkan 122 pasukan secara keseluruhan dari sekolah- sekolah dan kelab ragbi seluruh negara dan dari luar negara. Pihak pengelola menjemput orang ramai untuk bersama- sama datang ke padang bagi mengenali sukan ragbi dari dekat.

Terdapat juga acara sampingan lain disediakan seperti gerai jualan makanan dan peralatan sukan ragbi, ujian saringan kesihatan, persembahan basking dan lain-lain.