Connect with:




Jurulatih pasukan ragbi 7 sebelah negara, Saizul Hafifi yakin bahawa skuadnya mampu memperoleh kelompok 6 terbaik dalam pusingan kedua Asian 7 Series pusingan kedua yang bakal berlangsung di Incheon, Korea hujung minggu ini.

Pasukan ragbi negara baru sahaja selesai pusingan pertama kejohanan tersebut di Hong Kong dua minggu lepas dan mereka sebelum itu terlibat dengan Sukan Asia Jakarta-Palembang.

“Kini kami sedang menjalani progam latihan intensif di Universiti Putra Malaysia (UPM) 2 kali sehari dan para pemain dalam keadaan bermotivasi tinggi untuk melakar sesuatu pada kejohanan hujung minggu ini,” ujar jurulatih yang berasal dari Kelantan itu kepada Dunia Sukan.

Menurut ketua pasukan, Siddiq Jalil, Kejohanan Asian Series ini merupakan platform terbaik untuk pemain-pemain muda mempamerkan kebolehan mereka jika diberi peluang.

“Kami kehilangan beberapa pemain tonggak seperti bekas ketua pasukan iaitu Zulkifli Azmi dan beberapa pemain senior lain atas sebab komitmen namun ragbi ini merupakan satu permainan berpasukan dan saya yakin rakan-rakan lain yang diberi peluang bakal menggunakannya sebaik mungkin,” ujar pemain berusia 25 tahun ini.

Untuk rekod, pasukan ragbi 7s negara tahun ini mencatatkan tempat ke-5 Sukan Asia dan ke-8 pusingan pertama Asian Series.

Foto : Malaysia Rugbi Union