Connect with:




4 pemain ragbi wanita yang kini dalam persediaan pasukan menghadapi kejohanan Siri Ragbi Asia 7s 2019 dan Sukan SEA Filipina 2019 nanti telah membolot kesemua anugerah pemain ragbi wanita dalam majlis sulung Anugerah Ragbi Kebangsaan 2019. Kejayaan ini sekaligus meletakkan satu penanda aras kualiti buat pasukan ini dalam mempertahankan kedudukan tempat ke-8 Asia.

Anugerah Pemain Ragbi Wanita Terbaik Peringkat Kebangsaan, Anugerah Pemain Harapan Wanita Terbaik Peringkat Kebangsaan, Anugerah Pemain Harapan Wanita Terbaik Peringkat Antarabangsa dan Anugerah Wanita Terbaik Peringkat Antarabangsa menjadikan 4 kategori anugerah bagi pemain wanita telah diperkenalkan dalam acara sulung anugerah penuh berprestij ini. Majlis anugerah yang pertama kali dianjurkan oleh Kesatuan Ragbi Malaysia telah berlangsung di Mercu UEM pada 30 Mac 2019 lalu merupakan anugerah tertinggi untuk menghargai kesemua pemegang taruh yang telah mengangkat martabat sukan ragbi tanah air.

Setiap anugerah yang berjaya dirangkul sekaligus memberi pengiktirafan tertinggi kepada Norfarahana binti Aziz, Nur Natasha binti Hairul Azhar, Euphrasia Anne Cralis dan Rozliana binti Mohd Ridwan. Untuk rekod, kesemua pemain tersebut merupakan pemain skuad ragbi wanita yang telah mencipta fenomena di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang lalu kecuali Nur Natasha Hairul Azhar.

Dari kiri ke kanan – Nur Natasha binti Hairul Azhar, Rozliana binti Mohd Ridwan, Norfarahana binti Aziz dan Euphrasia Anne Cralis

REAKSI PEMENANG ANUGERAH:

ANUGERAH PEMAIN RAGBI WANITA TERBAIK PERINGKAT KEBANGSAAN
“Saya berasa amat bersyukur dengan anugerah yang diberi dan anugerah ini menaikkan semangat saya untuk menjadi pemain ragbi yang lebih baik pada masa akan datang. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan pengurusan dan jurulatih yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan ribuan terima kasih kepada semua yang membantu saya terutamanya En. Rosli Rais dari Politeknik Balik Pulau dalam apa jual hal situasi susah dan senang yang sentiasa memberi nasihat kepada saya.”; ujar Norfarahana binti Aziz.

ANUGERAH PEMAIN HARAPAN WANITA TERBAIK PERINGKAT KEBANGSAAN
“Saya amat tidak sangka dengan penganugerahan ini tetapi saya amat gembira dan sangat berbesar hati menerimanya. Ini akan menjadi pencapaian paling bermakna bagi saya yang baharu sahaja menceburi sukan ini. Saya amat berterima kasih kepada pihak pengurusan dan jurulatih yang percayakan saya dan menarik minat saya untuk menceburi bidang sukan ragbi. Juga tidak ketinggalan ucapan terima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang tidak henti menyokong keputusan saya untuk menceburi sukan ragbi meski mengetahui bahawa sukan ini satu sukan yang agak ganas untuk anak gadis mereka ini. Saya juga mahu mengajak individu sukan lain supaya tidak gentar untuk menceburi sukan ragbi kerana sukan ini suatu sukan yang memerlukan disiplin dan semangat sepasukan yang tinggi dan sukan ini mengajar saya untuk percayakan setiap apa kebolehan yang saya ada dan cuba untuk meningkatkan kebolehan diri saya sendiri, cubalah menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik. Keep it up and don’t give up!”; ujar Nur Natasha Hairul Azhar

ANUGERAH PEMAIN HARAPAN WANITA TERBAIK PERINGKAT ANTARABANGSA
“Saya berasa sangat bersyukur dan berterima kasih kerana dapat anugerah ini. Anugerah ini sangat bermakna untuk saya kerana saya dapat membuat keluarga saya bangga dengan saya. Saya juga ingin berterima kasih kepada coaches, management, kawan-kawan dan tidak lain tidak bukan iaitu keluarga saya kerana sentiasa memberi sokongan terhadap saya dalam bidang sukan ragbi. Tidak lupa juga Cg Josephine dari SM St Michaels, Penampang yang telah memperkenalkan sukan ragbi dan membimbing saya semasa di bangku sekolah. Saya berharap agar dapat terus berjuang untuk bermain sebagai pemain ragbi Malaysia dan mengharapkan agar sukan ragbi di Malaysia semakin maju terutama sekali dalam kalangan wanita. “; ujar Euphrasia Anne Cralis

ANUGERAH WANITA TERBAIK PERINGKAT ANTARABANGSA
“Pertama sekali saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat ilahi dengan pengurniaan anugerah ini kepada saya. Saya sangat terharu kerana ini adalah kali pertama saya mendapat anugerah seperti ini dan ia sangat memberikan motivasi kepada saya untuk terus maju ke hadapan. Di sini, saya akui bahawa kejayaan ini adalah satu permulaaan yang baik untuk diri saya pada tahun ini, dan sekaligus telah menyuntik semangat saya untuk terus melakukan kejutan dalam karier saya selepas ini. Tiada apa yang lebih baik lagi untuk permulaan tahun baru 2019 selain daripada menerima anugerah ini.

Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga, terutamanya kepada para jurulatih saya kerana tanpa mereka saya tidak akan mencapai kejayaan seperti ini. Selain itu, ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan ragbi wanita 7s yang telah menjaga setiap kebajikan atlet dengan begitu baik sekali. Serta tidak lupa juga kepada ahli keluarga dan rakan rakan yang sering memberikan dorongan dan sokongan kepada saya. Sebenarnya kejayaan saya ini adalah berkat doa dari kalian semua.”; ujar Rozliana binti Mohd Ridwan

Terkini, pasukan ragbi 7 wanita kebangsaan telah mengumumkan Hannan Medispa sebagai rakan strategik kepada persiapan pasukan dari menghadapi kejohanan Siri Ragbi Asia 7s 2019 dan Sukan SEA Filipina 2019 nanti. Hannan Medispa yang merupakan sebuah medispa kecantikan yang mempunyai 37 cawangan seluruh negara akan memberi tajaan memfokuskan kebajikan setiap pemain dalam pasukan ragbi wanita kebangsaan ini.

Walaupun menerima sokongan dan bantuan dari pihak Kerajaan Malaysia terutamanya Majlis Sukan Negara dan Kesatuan Ragbi Malaysia, pasukan ini masih amat memerlukan tajaan dana tambahan dalam persiapan pasukan dari segi pendedahan kepada penyertaan kejohanan dan latihan intensif di luar Negara. Faktor ini amat kritikal kepada persediaan pasukan agar dapat berentap bersama pasukan ragbi wanita terkuat seperti Jepun, China, Hong Kong dan beberapa negara lagi yang beraksi dalam Siri Ragbi Wanita Asia 7s ini. Persiapan ini juga sudah pasti secara tidak langsung menjadi serampang dua mata untuk meraih kejayaan di pentas Sukan SEA Filipina 2019 nanti.

foto kredit: Faiz Azizan