Connect with:




Pemain Skuash Wanita Negara, Rachel Arnold berjaya mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Antarabangsa HKFC di Hong Kong esok.

Menurut laporan akhbar Harian Metro, dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Skuash Hong Kong semalam, Rachel mendapat kemenangan percuma apabila lawan yang juga pilihan kelapan dari Perancis, Coline Aunard mengalami kecederaan dan terpaksa menarik diri pada kedudukan 7-11, 11-8, 8-11, 6-6.

“Nasib tidak berpihak kepada pemain lawan hari ini (semalam), saya tidak mahu menang dan mara dengan cara ini,” katanya ketika dihubungi.

Rachel turut menambah bahawa lawannya tetap beraksi dengan baik meskipun dalam kecederaan dan memberitahu sudah tidak sabar untuk beraksi di pentas separuh akhir.

Lawan pemain berusia 22 tahun itu di pentas separuh akhir merupakan pilihan ketiga dari Mesir, Hania El Hammamy yang mengetepikan rakan senegaranya, Zeina Mickawy (11-2, 11-6, 11-7).

Nasib untuk mara ke separuh akhir tidak berpihak kepada wakil lelaki negara, Nafiizwan Adnan apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Mesir, Youssef Soliman yang juga pilihan keenam.

Nafiizwan yang pernah menjuarai kejohanan sama bagi edisi 2016 gagal mengekang corak permainan pantas  dipamerkan Youssef yang memenangi perlawanan dengan keputusan 18-12,8-11, 12-10, 11-8.