Connect with:




Sukan luncur air bertaraf dunia kembali ke Putrajaya tahun ini apabila 167 atlet peluncur air dari 33 negara akan bertemu di sini bulan depan bagi beradu kemahiran sempena Kejohanan Luncur Air Dunia IWWF 2019.

Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata kejohanan luncur air itu, edisi ketiga Putrajaya menjadi tuan rumah, akan diadakan di Pusat Sukan Air, Presint 6 mulai 13 Ogos hingga 19 Ogos ini.

Pada kejohanan itu, Malaysia akan diwakili oleh peserta adik-beradik iaitu Aliyah Yoong Hanifah bersama dua adik lelakinya iaitu Aiden Yoong dan Adam Yoong, selain Nadiah Nasir.

“Ini merupakan platform untuk menonjolkan Putrajaya yang terkenal dengan tasik buatan manusia seluas 650 hektar di persada dunia,” kata Aminuddin pada majlis pra pelancaran Kejohanan Luncur Air Dunia IWWF 2019 di Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Pengunjung boleh menyaksikan kejohanan berkenaan berlangsung secara percuma, katanya.

Putrajaya pernah menganjurkan kejohanan itu pada 2008 dan 2009.

Sumber – (BERNAMA)