Jeremy Koo muncul sebagai pemenang Pusingan 4 Sirkit Match Racing Malaysia (MMRC) 2012 yang berlangsung di Pulau Duyong hari ini selepas berjaya menafikan hajat Hazwan Hazim Dermawan untuk mengecap kejuaraan pertamanya musim ini.

Jeremy yang berjaya melayakkan diri ke Piala Monsun 2012 semalam selepas menewaskan pencabar terdekatnya Masyuri Rahmat di peringkat separuh akhir, terpaksa mengejar dari belakang untuk membolehkan beliau bersama rakan-rakan sepasukan KFC Malaysia/KRT mengecap kegembiraan berganda hari ini.

Sebelum itu dalam final ‘petit’ pertemuan di antara dua pasukan dari Tentera Laut Di-Raja Malaysia menyaksikan Harisfabillah Muhammad berjaya menewaskan Masyuri untuk menduduki tempat ketiga, pencapaian kali kedua buat skipper Royal Malaysian Navy Match Racing 2 itu, menyamai kejayaannya di Pulau Indah di Pusingan 2.

Masyuri yang terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di Piala Monsun buat kali pertama selepas tewas di tangan Jeremy semalam, bermula dengan baik di awal perlumbaan tetapi Haris berjaya mengejar dan memotong rakan latihannya itu apabila mereka sedang menuju ke garisan penamat.

Sementara itu, Hazwan berjaya mengambil peluang di atas kebiasaannya dengan keadaan di muara Sungai Terengganu untuk memenangi perlumbaan pertama ketika menentang Jeremy. Namun juara MMRC untuk dua tahun lepas itu berjaya memaksa Hazwan supaya melakukan kesalahan di perlumbaan kedua untuk menyamakan kedudukan dan memaksa Hazwan untuk bertarung dalam perlumbaan ketiga.

Dalam perlumbaan tersebut, angin yang perlahan menyaksikan Hazwan gagal untuk menguasai keadaan dan peluang itu pantas digunakan oleh Jeremy untuk mendahului lawannya dan beliau berjaya mengekalkan kedudukan itu sehingga ke garisan penamat.

Jeremy jelas gembira dengan kejayaannya memenangi sirkit ketiganya musim ini yang menyaksikan beliau menjadi juara pertama Sirkit Match-Racing Malaysia ini. Menurut beliau kejayaan memenangi final hari ini berpunca dari tiada tekanan yang dirasakan oleh beliau dan krewnya selepas berjaya melayakkan diri ke Piala Monsun semalam.

Johan pusingan 4 ini menerima hadiah sebanyak RM8,000 sementara naib johan menerima RM5,000 dan pemenang tempat ketiga sebanyak RM2,000 yang ditaja oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Dato’ Peter Gilmour.